Khairy tetap ‘salute’ walaupun kutipan pingat emas merosot

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara yang berjuang dalam Sukan SEA 2023 Kemboja baru-baru ini.

Meskipun sedih dengan kemerosotan pingat emas dalam temasya itu, beliau tetap berbangga dengan semangat juang ditunjukkan atlet-atlet terlibat.

“Komitmen atlet dan kontinjen kita, saya ‘salute’ kerana saya telah meninggalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam keadaan yang kukuh bukan hanya keputusan 2017 Sukan SEA yang terbaik dalam sejarah begitu juga 2016 Olimpik Rio dan Paralimpik terbaik dalam sejarah negara termasuk enam atlet menjadi juara dunia.

“Menteri kata Sukan SEA kali ini banyak atlet muda, memang betul tetapi itu dasar dari dulu lagi, zaman sebelum saya pun, Sukan SEA kita hantar atlet muda,” katanya pada siri Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Shahril Hamdan pada Isnin.

Khairy berkata, sebagai contoh Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nichole Ann David tidak menyertai temasya itu kerana direhatkan.

“Kalau adapun Datuk Azizul Hasni Awang sebab dia yang mahu sertai, Datuk Pandelela Rinong dan lain juga ada tetapi kita banyak ketengahkan pelapis-pelapis juga,” katanya.

Beliau mengakui, tuan rumah Kemboja memang banyak menggugurkan acara sukan yang lazimnya dimenangi oleh Malaysia contohnya acara berbasikal trek dan beberapa acara sukan yang lain.

“Tetapi 40 sasaran emas kita, sebagai contoh sukan renang yang kita berjaya menang dalam temasya sebelum ini juga agak hambar.

“Prestasi bergantung kepada menteri, ada menteri menganggap ini bukan tugas dia dan ini diserahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga persatuan-persatuan sukan untuk menentukan,

“Bagi saya, saya lebih ‘hands on’, saya tahu yang akan umumkan sasaran itu adalah menteri. Kalau kita lepas tangan umumkan benda yang kita rasa tiada peranan, akhirnya kita kena bertanggungjawab juga," katanya.

Jelas Khairy, proses persediaan menghadapi Sukan SEA adalah dua tahun dan selepas sukan itu tamat, menteri terlibat akan melihat prestasi dan membuat unjuran sama ada terhadap mana-mana atlet untuk beraksi dalam Sukan SEA akan datang.

“Kita juga kena ambil pertimbangan sama ada atlet itu akan pergi ke Sukan Komanwel, Sukan Asia atau Sukan Olimpik yang mana mungkin kalendar itu akan bertindih dengan Sukan SEA.

“Selepas itu kita kena bincang dengan MSN dan persatuan sukan untuk menentukan atlet ini akan dihantar ke kejohanan mana tahun ini,” ujarnya.

Tegas Khairy, perancangan termasuk peruntukan, kos dan sebagainya perlu dinilai oleh menteri kerana menteri yang menetapkan polisi dan target.