Terlantar akibat kemalangan ngeri, Danish kini hanya mampu buka mata

Yussery (tengah) dan Rozita (kanan) setia menjaga Danish yang terlantar sejak lima tahun lalu.
Yussery (tengah) dan Rozita (kanan) setia menjaga Danish yang terlantar sejak lima tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN – Hati ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak yang dahulunya aktif, kini hanya mampu terlantar dan memandang kosong tanpa sebarang reaksi.

Itulah ujian yang dilalui Rozita Hamzah, 53, apabila anak ketiganya, Muhammad Yusshah Danish Yussery, 23, atau mesra disapa Danish, berubah nasib selepas terlibat dalam kemalangan ngeri lima tahun lalu.

Menurutnya, walaupun anak lelakinya itu sudah tidak lagi berada dalam keadaan koma, namun seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri.

“Dia sekadar membuka mata memandang orang, tetapi pandangannya kosong. Makan pun tidak tahu membuka mulut, apatah lagi mahu mengangkat tangan.

“Jadi, segala keperluan harian termasuk pemberian susu dilakukan melalui tiub, manakala pembuangan najis pula hanya bergantung kepada lampin pakai buang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Bercerita mengenai kejadian menimpa Danish, ibu kepada lima anak itu berkata, semuanya bermula apabila Danish terlibat dalam kemalangan membabitkan pelanggaran dua motosikal di laluan Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Tekam Utara, Jerantut, pada 1 Jun 2020.

Jelasnya, kemalangan tersebut menyebabkan Danish mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan serta jari.

Menurutnya, tragedi itu bukan sahaja meragut kesihatan anaknya, malah impian Danish untuk menggenggam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut terkubur.

“Dia yang sepatutnya menduduki peperiksaan itu pada tahun 2020 tidak sempat menghabiskan alam persekolahannya.

Artikel Berkaitan:

“Kini, selepas lima tahun, rakan-rakan sebayanya mungkin sudah bekerja atau tamat pengajian universiti, namun Danish masih di sini bertarung untuk pulih sepenuhnya,” ujarnya.

Sejak kejadian itu, Rozita dan suaminya, Yussery Ismail, 56, tidak pernah berputus asa dan kini berikhtiar mendapatkan rawatan di sebuah pusat rehabilitasi di Bangi bagi memulihkan anak mereka sejak Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, mereka kini berada dalam dilema apabila simpanan sebelum ini telah habis digunakan bagi menampung kos perubatan.

“Kami berusaha menghantarnya ke pusat rawatan untuk memulihkan keadaannya, namun mungkin hanya mampu bertahan sehingga bulan Ramadan ini kerana kami sudah tidak mampu menanggung kos rawatan.

“Setiap bulan, perbelanjaan Danish sahaja mencecah hampir RM3,000 merangkumi kos pusat rawatan, susu khas, lampin pakai buang serta ubat-ubatan,” katanya.

Rozita menambah, bebanan semakin bertambah apabila beliau tidak lagi bekerja demi memberikan sepenuh tumpuan menjaga dan memulihkan Danish.

Menurutnya, suaminya pula hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pemandu lori bagi perniagaan dandanan pengantin yang diusahakan mereka.

“Setakat ini, kami hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, manakala bantuan zakat pula hanya diterima pada peringkat awal kejadian dahulu.

“Kos tambahan seperti sewaan ambulans swasta yang mencecah sehingga RM700 bagi setiap rujukan ke hospital turut merumitkan keadaan kewangan kami kerana Danish tidak boleh dibawa menggunakan kenderaan biasa,” luahnya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156141282978 atas nama Rozita Hamzah.

Ringkasan AI

  • Muhammad Yusshah Danish Yussery berubah nasib selepas terlibat dalam kemalangan ngeri lima tahun lalu menyebabkannya hidup dalam keadaannya sendiri
  • Danish mengalami kecederaan parah termasuk di bahagian kepala dan patah tulang yang menyebabkan impian beliau untuk menggenggam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkubur
  • Keluarga berikhtiar mendapatkan rawatan di sebuah pusat rehabilitasi di Bangi namun menghadapi kesulitan kewangan untuk menampung kos perubatan
  • Perbelanjaan bulanan Danish mencecah hampir RM3,000 termasuk kos pusat rawatan, susu khas, lampin pakai buang serta ubat-ubatan
  • Keluarga menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan menghadapi kesulitan menampung kos tambahan seperti sewaan ambulans

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!