Semburan air sabun memadai bunuh Covid-19 di kawasan awam

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Keberkesanan membunuh koronavirus (Covid-29) di kawasan awam dengan semburan sanitasi bergantung kepada jenis bahan cecair yang digunakan.

Bagaimanapun Pakar Virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, semburan sanitasi menggunakan air sabun sudah memadai untuk mematikan virus berkenaan.

Menurutnya, kerja sanitasi perlu dilakukan secara berulang terutama di premis berkelembapan tinggi seperti pasar awam.

"Semburan itu bergantung kepada bahan yang digunakan. Kalau bahan disinfeksi, InsyaALLAH berkesan.

"Jika ada virus itu, menggunakan semburan sama ada hidroksida atau pun air sabun biasa pun sudah cukup untuk membunuh virus," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kerja-kerja semburan sanitasi bertujuan membersihkan kawasan tertentu daripada virus Covid-19 yang ditinggalkan pesakit melalui rembesan cecair ketika batuk, bersin atau meludah.

Menurutnya, kawasan zon merah menjadi keutamaan dan bagi lokasi yang masih dibuka untuk orang ramai, kerja sanitasi perlu dijalankan sekerap mungkin dan bukan hanya sekali.

"Langkah semburan sanitasi ini paling berkesan untuk membunuh virus Covid-19 di kawasan awam," katanya.

Artikel Berkaitan: