Dua pegawai ATM akan didakwa berkaitan kes rasuah, tender perolehan

AZAM
AZAM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka akan dituduh di mahkamah berhubung berkaitan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), minggu depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa kertas siasatan berhubung kes itu akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Isnin ini bagi mendapatkan arahan lanjut untuk tujuan pertuduhan kes itu

"Siasatan masih diteruskan dan saya sudah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyegerakan siasatan itu.

"Beberapa kertas siasatan dijangka akan disiapkan Isnin depan dan kita akan merujuk ia kepada TPR untuk keputusan lanjut dengan cadangan untuk pertuduhan membabitkan seorang atau dua individu," katanya pada sidang akbar khas di pejabatnya, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya menahan 23 individu dengan membuka kertas siasatan membabitkan 22 'predicate offense'.

"Kita turut membuka satu kertas siasatan membabitkan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Setakat ini, kita sudah merakam percakapan 30 saksi sepanjang dua minggu tempoh siasatan dijalankan bagi membantu siasatan kes berkenaan melalui Op Parasit.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun siasatan bermula hanya dengan maklumat yang agak terhad berkaitan transaksi wang dan ia menjadi cabaran kepada pegawai penyiasat untuk membuktikannya dalam tempoh singkat berikutan prosedur ketat perbankan.

Bagaimanapun katanya, kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak institusi kewangan membantu mempercepatkan pembekalan dokumen penting.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut mendapati kes membabitkan isu perolehan, termasuk mengenal pasti kontrak terbabit serta pihak pemberi wang dengan 27 kontraktor ditahan bagi membantu siasatan sebelum semuanya dibebaskan.

"Hasil siasatan dan perisikan SPRM berjaya mengesan aset serta bahan bukti berkaitan dalam tempoh dua minggu, satu pencapaian membanggakan hasil dedikasi dan komitmen pegawai saya yang menjalankan siasatan sejak akhir tahun lalu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) sudah dibebaskan daripada reman pada jam 6.30 petang Isnin.

Terdahulu dua isteri bekas PTD turut dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat.

SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Pada 24 Disember tahun lalu, SPRM sudah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.

 

Ringkasan AI

  • Dua pegawai tertinggi ATM akan didakwa berkaitan rasuah tender perolehan TDM
  • SPRM akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya
  • Bekas Panglima Tentera Darat dibebaskan dari reman
  • SPRM menyiasat projek-projek perolehan di Kementerian Pertahanan
  • Aset mewah dan akaun bank milik pegawai kanan tentera dan keluarga disita oleh SPRM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!