MIC masih bersama BN - Zambry

Zambry ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu pada Rabu.
Zambry ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU -  [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengesahkan bahawa MIC masih kekal sebagai komponen parti itu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman bahawa MIC telah keluar daripada BN seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Setakat ini kita tidak menerima apa-apa sehingga semalam, beberapa hari ini pun masih berada dalam hubungan yang baik. Jadi sebarang laporan yang mengatakan bahawa mereka keluar ataupun tidak, kita tidak mengambil itu sebagai sumber sahih sehingga dimaklumkan.

"Bagaimanapun, saya yakin bahawa MIC masih tetap bersama dengan BN sehingga kini," katanya semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini pada Rabu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut menyifatkan bahawa perkara itu hanya sebagai spekulasi dan menegaskan bahawa kerjasama antara parti komponen dalam keadaan baik.

"Mesyuarat hari ini mereka tidak dapat hadir disebabkan oleh kekangan masa, begitu juga dengan beberapa orang yang lain.  Bagaimanapun mesyuarat dapat diteruskan kerana jumlah kehadiran mencukupi. 

"Tiada isu berbangkit berkaitan dengan masalah itu yang dibincangkan. BN sentiasa bersangka baik dan mungkin sebarang spekulasi yang dibuat itu kita anggap sebagai hanya satu spekulasi," ujarnya.

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan antara keputusan yang diambil dalam mesyuarat tersebut adalah penyertaan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam BN dan penyusunan barisan kepimpinan BN Sabah termasuk pelantikan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi BN Sabah. 

Artikel Berkaitan:

"Pengerusi BN sendiri telah memutuskan beberapa perkara, yang pertama, pelantikan Datuk Seri Arthur Joseph sebagai Pengerusi BN negeri Sabah, diikuti pelantikan Timbalan Pengerusi BN Sabah, iaitu Datuk Jafry Ariffin dan Setiausaha BN Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengesahkan MIC masih kekal sebagai komponen parti BN
  • Beliau menyatakan tidak menerima sebarang pemakluman bahawa MIC telah keluar dari BN
  • Menurutnya, hubungan antara BN dan MIC masih baik setakat ini
  • Zambry yakin MIC masih bersama dengan BN
  • Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang membincangkan isu ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!