Polis minta individu tampil salur maklumat dakwaan kes dera di taska

Ramsay
Ramsay
A
A
A

SHAH ALAM - Polis meminta mana-mana individu atau pihak yang mempunyai maklumat berhubung video tular mengenai keadaan sebuah taska dan perbuatan penjaganya terhadap anak asuhan untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya mengesan empat video tular di media sosial.

"Setakat ini pihak polis belum menerima laporan berhubung dengan video tular itu dan masih menjalankan siasatan secara terperinci.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung video tular tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, akan menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan penderaan melibatkan pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam.

Asyraf menjelaskan, laporan itu diterima daripada Timbalan Ketua Pengarah Mara selepas dimaklumkan seorang pempengaruh terkenal.

Beliau turut meminta orang ramai, khususnya ibu bapa yang mempunyai maklumat berkaitan penderaan di taska terbabit supaya tampil bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan berdasarkan video tular itu dikatakan tindakan beberapa pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang didakwa mengurung seorang kanak-kanak autisme dalam bilik stor.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis meminta bantuan orang ramai bagi maklumat tentang video tular keadaan sebuah taska dan perlakuan penjaganya
  • Empat video tular di media sosial dikesan oleh polis
  • Belum ada laporan diterima dan siasatan masih berjalan
  • Pengasuh didakwa mengurung kanak-kanak autisme dalam bilik stor
  • Pengerusi Mara akan siasat dakwaan penderaan di taska tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!