SPRM sita 23 jam tangan Rolex di rumah isteri kedua bekas PTD

SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000. Foto hiasan
SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman isteri kedua kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) di sebuah negeri di pantai timur pada Sabtu.

Menurut sumber, penggeledahan yang dibuat menjumpai dua bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemui 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta,” katanya.

Tambah sumber, SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan bekas PTD yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat direman tujuh hari bermula 8 Januari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Selain itu, seorang daripada isterinya yang turut ditahan SPRM pula direman enam hari, manakala seorang lagi isterinya direman tiga hari.

Pada Jumaat, media melaporkan SPRM telah menyita wang tunai, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan emas kira-kira RM6.9 juta melibatkan kes terbabit.

Sumber dilaporkan berkata, wang tunai yang disita itu meliputi nilai dalam mata wang Dolar Amerika Syarikat (ASD), Euro, Pound, Yen (Jepun), dan Riyal (Arab Saudi).

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Pada 23 Disember lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Ringkasan AI

  • SHAH ALAM - SPRM menyita aset mewah lebih RM2.2 juta di kediaman isteri kedua bekas Panglima Tentera Darat
  • Penggeledahan temui dua bagasi berisi 23 jam tangan Rolex bernilai RM2 juta
  • SPRM turut menyita barangan kemas bernilai RM225,000
  • Bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya ditahan untuk siasatan kes rasuah
  • Kes melibatkan tender perolehan Tentera Darat, disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!