Inkues Zara Qairina: Pengetua dedah tidak terima laporan bertulis siasatan dalaman pelajar

KOTA KINABALU – Saksi ke-47 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan bahawa beliau hanya menerima maklumat secara lisan berhubung temu bual yang dijalankan oleh Unit Disiplin dan bukannya kenyataan bertulis pelajar yang dilakukan di surau, berhubung kejadian yang berlaku pada 15 Julai 2025.
Siasatan itu melibatkan insiden yang berlaku sehari sebelum Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asrama sekolah.
Saksi, Shaharoom Hashim, 51, yang merupakan pengetua sebuah sekolah menengah agama di Papar, bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau berdepan kekangan jadual yang padat susulan kunjungan pelbagai pihak ke sekolah serta siasatan oleh pihak polis.
“Saya diberi maklumat secara lisan sahaja dan tidak dimaklumkan (mengenai kenyataan bertulis) dalam tempoh tiga minggu saya masih bertugas di sekolah tersebut.
"Dalam tempoh tiga minggu itu juga, setiap hari kami menerima kunjungan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai program intervensi terhadap insiden yang berlaku.
“Jadi, itulah kekangan yang saya hadapi dalam memenuhi tanggungjawab untuk meneruskan program. Dalam masa sama, saya ambil tahu dan saya sendiri setiap hari ke asrama untuk mengetahui perkembangan siasatan daripada polis Papar, Kota Kinabalu dan Bukit Aman, kerana dari semasa ke semasa pihak polis akan meminta senarai nama pelajar yang perlu diselaraskan bersama warden dan Unit Disiplin. Itulah keadaannya ketika itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pegawai Pengendali, Mohd Fairuz Johari, semasa dipanggil semula untuk memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.
Mohd Fairuz sebelum itu mempersoalkan mengapa laporan siasatan pelajar secara bertulis tidak diserahkan kepada saksi, sebaliknya hanya laporan secara lisan yang diterima.
Apabila ditanya lanjut mengenai borang kenyataan bertulis oleh lima pelajar dan sama ada perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga termasuk ibu kepada Zara Qairina, Shaharoom sekali lagi menegaskan bahawa tiada pemakluman dibuat kepadanya mengenai pengambilan kenyataan bertulis tersebut.
“Daripada saya sendiri, tidak ada (pemakluman kepada ibu bapa). Mungkin daripada Unit Disiplin, saya tidak pasti. (Kepada ibu Zara) daripada saya sendiri, tidak ada sebab saya tidak dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Shaharoom turut mendedahkan bahawa tiada pemakluman diberikan kepada ibu Zara Qairina berhubung hasil siasatan pihak sekolah, walaupun mereka pernah bertemu sebanyak dua kali.
“Kami ada membuat kunjungan ke hospital dan ke rumah ibu Zara. Sepanjang saya berada di sekolah, daripada saya tidak ada (pemakluman kepada ibu). Sebab pada ketika itu siasatan masih berjalan,” jelasnya.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth di sini.
Ringkasan AI
- Saksi ke-47 tidak menerima kenyataan bertulis mengenai siasatan insiden Zara Qairina, hanya maklumat lisan
- Insiden menyebabkan Zara Qairina tidak sedarkan diri sebelum meninggal, berlaku sehari sebelum ditemukan
- Pengetua menghadapi kekangan menyebabkan tidak dapat berkomunikasi secara efektif dengan pihak berkepentingan
- Tiada pemakluman diberikan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai pengambilan kenyataan bertulis pelajar
- Shaharoom tidak memberitahu ibu Zara Qairina mengenai siasatan sekolah walaupun bertemu dua kali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
