Kes Zara Qairina: Dua guru dipanggil hari pertama perbicaraan lima remaja

KOTA KINABALU - Dua saksi melibatkan guru di sebuah sekolah menengah agama di Papar dipanggil untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan melibatkan lima remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak, pada Isnin.
Kedua-dua saksi tersebut terdiri daripada seorang guru akademik yang tampil sebagai saksi pertama dan Guru Bimbingan dan Kaunseling sebagai saksi kedua.
Pemeriksaan balas terhadap saksi kedua belum selesai dan dijadualkan bersambung dalam prosiding hari kedua pada Selasa.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Marlina Ibrahim dan pihak pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim, Husni Fairos Ramly dan Deepa Nair Thevaharan.
Pasukan peguam pula terdiri daripada Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Elmer Prem Ganasan yang mewakili tertuduh pertama manakala empat lagi remaja diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar, Sylyester Kuan dan Fareez Salleh.
Ogos lalu, kelima-lima remaja tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela dan menggunakan kata-kata kesat terhadap Allahyarhamah Zara Qairina.
Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
Ringkasan AI
- Dua saksi melibatkan guru dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan buli Zara Qairina di Mahkamah Kanak-Kanak
- Pemeriksaan balas terhadap saksi kedua akan bersambung pada hari kedua
- Perbicaraan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim dengan Timbalan Pendakwa Raya dan pasukan peguam membela
- Lima remaja dihadapkan dengan tuduhan mencela dan menggunakan kata-kata kesat terhadap Zara Qairina
- Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dan kemudian meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
