Agensi agama perlu tangkas membangunkan pemikiran umat

Tugas besar yang menanti agensi hal ehwal agama adalah membentuk pemikiran umat Islam. Gambar kecil: Dr Sirajuddin
Tugas besar yang menanti agensi hal ehwal agama adalah membentuk pemikiran umat Islam. Gambar kecil: Dr Sirajuddin
A
A
A

MAJLIS Amanat Senator Dr Zulkifli Hasan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Majlis Perhimpunan bersama warga agensi pada 12 Januari lalu telah membuka lembaran baharu ke arah agenda pengukuhan pentadbiran hal ehwal Islam di negara kita.

Amanat yang disampaikan telah mengobar semangat warga agensi untuk merapatkan saff bekerja dengan penuh itqan.

“Mengemudi Perubahan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dalam Era Pasca Normal” menjadi mesej beliau yang menyeru semua warga agensi hal ehwal agama untuk bermuhasabah diri serta bingkas membuat islah minda dan sikap bagi memastikan agensi hal ehwal agama terus relevan peranannya sebagai jentera pentadbiran awam bahkan menjadi tonggak ke arah pencapaian Malaysia sebagai negara Islam contoh di dunia meliputi pentadbiran hal ehwal Islam, pengurusan haji, zakat dan kewangan Islam, penyiaran Islam dan sebagainya.

Era pasca normal hari ini menjadikan kita berhadapan dengan cabaran ledakan teknologi dan media sosial yang memberi ancaman menghakis nilai keinsanan jatidiri insan.

Tugas besar yang menanti agensi hal ehwal agama adalah membentuk pemikiran umat Islam yang wasati, maqasidi, qurani dan ihsani. Ini adalah cabaran yang mesti digalas semua warga agensi untuk membentuk fikrah umat yang damai, terbuka serta meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan umat.

AGENSI hal ehwal agama perlu bersedia berkongsi kepakaran setiap agensi untuk menjulang nilai Islam rahmah, inklusif dan berkemajuan. Agama Islam perlu ditampilkan dilihat sebagai agama yang menyebar kebaikan bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang berpaksikan sabda Baginda Rasulullah yang direkodkan oleh Imam Tirmizi bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam (damai), berilah makanan dan solatlah ketika orang sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan iringan ucapan salam.”

Pada masa sama, Baginda Rasulullah juga telah memberikan peringatan agar kita tidak bergaduh dan berantakan sesama sendiri. Hadis yang direkodkan Imam Muslim bahawa maksudnya: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari."

Islam juga mengajar kita untuk sentiasa berada di atas neraca taqwa dan keadilan. Surah Al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Kita mesti menghargai nikmat kepelbagaian di negara kita. Selaras dengan tunjang Malaysia Madani, rakyat Malaysia perlu memperkukuh semangat fiqh ta’ayush, hormat-menghormati, saling bertoleransi, mengutamakan perpaduan dan keharmonian yang mana ia dinikmati oleh masyarakat majmuk dalam negara yang aman dan makmur ini.

Artikel Berkaitan:

Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAh ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Islam rahmah juga perlu diterjemahkan dalam konteks interaksi bersama masyarakat bukan Islam. Firman ALLAH SWT di dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 yang bermaksud: “ALLAh tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Mutakhir ini kita berhadapan dengan cabaran yang merengut perpaduan rakyat. Sentimen kebencian ditiupkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ditambah dengan ledakan media sosial.

Justeru, dalam konteks pentadbiran hal ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperkukuh program-program dakwah bil-hal menyantuni masyarakat di pelbagai lapisan termasuk golongan remaja, wanita serta golongan rentan.

Dalam konteks Sabah dan Sarawak, melalui kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri, JAKIM akan memberi fokus membawa misi dakwah kasih sayang. Siri dialog pengukuhan tamadun peradaban serta program komuniti bersama masyarakat bukan Islam akan turut diperhebatkan dengan kerjasama pihak badan NGO untuk memperkasa semangat saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Sekarang adalah masa seluruh warga agensi khususnya JAKIM agar pantas dan tangkas turun ke lapangan membawa semangat islah yang digerakkan Menteri Agama yang baharu, memberikan perkhidmatan terbaik untuk memenuhi keperluan masyarakat.

Agar ia tidak menjadi retorik semata, seluruh agensi hal ehwal agama perlu menghayati wehdatul fikr, hati dan amal untuk merealisasikan agenda Membangun Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

*Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

 

Ringkasan AI

  • Majlis Amanat oleh Senator Dr Zulkifli Hasan bertujuan mengukuh pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia
  • Amanat mengajak agensi hal ehwal agama merapatkan barisan dengan penuh itqan
  • Era pasca normal mencabar agensi hal ehwal agama membentuk pemikiran umat Islam yang wasati dan qurani
  • Islam rahmah ditekankan sebagai agama yang menyebarkan kebaikan kepada semua tanpa mengira latar belakang
  • JAKIM akan memperkukuh program dakwah menyantuni masyarakat pelbagai lapisan dan meneruskan dialog dengan masyarakat bukan Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!