Tekad bina syarikat dari sifar

KEPUTUSAN menerima skim pemberhentian kerja secara sukarela (VSS) menjadi titik perubahan besar dalam hidup Pengarah Prokitch Interior Design, Azizzul Hadi Wasimin, 36, apabila beliau memilih membina perniagaan sendiri dalam bidang yang telah diceburinya hampir tujuh tahun.
Ketika ramai memilih laluan selamat dengan mencari pekerjaan baharu, Azizzul Hadi sebaliknya mengambil risiko memulakan perniagaan secara kecil-kecilan berbekalkan pengalaman serta keyakinan terhadap kemahiran sendiri dalam dunia reka bentuk hiasan dalaman.
“Minat terhadap bidang reka bentuk sudah bermula sejak bekerja di syarikat terdahulu. Sejak awal lagi hasrat untuk terus kekal dalam bidang ini jelas kerana sudah memahami selok-belok kerja serta potensinya.

“Selepas keluar daripada syarikat lama, saya tekad untuk meneruskan kerjaya dalam bidang yang sama. Dari situlah tercetus idea menubuhkan Prokitch secara freelance sebelum berkembang menjadi sebuah syarikat,” katanya kepada ditemui Sinar Bisnes.
Tambahnya, pengalaman industri bermula pada 2016 menjadi asas kukuh sebelum beliau menubuhkan Prokitch Interior Design secara rasmi pada 2020.
“Justeru, apabila membuka syarikat sendiri, perjalanan tidak bermula dari kosong sepenuhnya. Banyak ilmu diperoleh daripada senior di tempat kerja lama termasuk aspek teknikal lukisan dan pengurusan projek,” ujarnya.
Dengan modal permulaan sehingga RM40,000 Azizzul Hadi menguruskan hampir keseluruhan operasi seorang diri pada peringkat awal.
Beliau bertindak sebagai perunding, pereka, jurukadar, penyedia sebut harga dan pengurus projek secara serentak.
“Saya mengukur rumah pelanggan, membuat lukisan, menyediakan sebut harga, mengurus konsultasi dan berhubung dengan pelanggan. Hampir semuanya saya lakukan sendiri kecuali proses pemasangan yang dibantu oleh pasukan teknikal luar.

“Saya aktif memuat naik hasil kerja di Facebook dan Instagram supaya orang nampak apa yang dihasilkan. Dari situ, pelanggan mula menghubungi saya seorang demi seorang, hasil konsistensi di media sosial,” kongsi beliau.
Apabila kewangan semakin stabil, Azizzul Hadi mula menubuhkan pejabat sendiri dan mengambil pekerja secara berperingkat sehingga operasi syarikat menjadi lebih teratur.
“Bermula dari rumah ke rumah dengan membawa sampel dan menawarkan khidmat seorang diri, saya kini mengemudi Prokitch Interior Design yang berpejabat di Setia Alam, Selangor dengan pasukan tujuh orang pekerja.
“Selain mempunyai satu cawangan meliputi seluruh Selangor dan Kuala Lumpur, kami turut menerima projek sehingga ke Melaka bagi permintaan khas walaupun operasi utama tertumpu di Lembah Klang,” kata beliau.

Prokitch Interior Design menawarkan perkhidmatan reka bentuk hiasan dalaman merangkumi kediaman, pejabat dan premis perniagaan dengan kepakaran utama dalam pembuatan kabinet.
Menurut Azizzul Hadi, syarikat itu mengendalikan keseluruhan proses daripada peringkat reka bentuk, pengukuran, penyediaan lukisan 3D, pembuatan sehingga pemasangan.
“Fokus awal kami adalah kabinet dapur, almari pakaian dan ruang televisyen yang melibatkan ruang-ruang utama dalam kediaman. Kini perkhidmatan diperluaskan kepada kerja-kerja renovasi menyeluruh apabila pasukan semakin lengkap.
“Harga perkhidmatan bermula serendah RM6,000 bagi set dapur lengkap manakala pakej ubah suai sebuah rumah boleh mencecah RM60,000 hingga RM70,000 bergantung kepada skop projek,” katanya.
Kepercayaan pelanggan
Dalam industri yang sangat kompetitif, Azizzul Hadi percaya kualiti reka bentuk dan ketelusan penerangan menjadi faktor pembeza utama Prokitch.
Katanya, pelanggan bukan sahaja tertarik kepada hasil kerja malah yakin dengan cara syarikat itu menerangkan produk dan bahan yang digunakan.
“Produk mungkin hampir sama tetapi cara kita memberi penerangan, berkongsi ilmu dan menunjukkan hasil kerja secara telus membina keyakinan pelanggan.
“Kami memastikan setiap projek siap akan didokumentasikan melalui foto dan video, sekali gus menjadi bukti mutu kerja kepada bakal pelanggan baharu,” jelasnya.

Katanya, biarpun industri ini sangat kompetitif, dia percaya sesiapa yang menampilkan hasil kerja berkualiti dan perkhidmatan terbaik mampu bertahan.
Azizzul Hadi berkata, antara detik penting dalam perkembangan Prokitch ialah kejayaan menyiapkan projek membabitkan empat unit rumah serentak tanpa sebarang masalah besar.
“Projek itu meningkatkan keyakinan syarikat untuk mengendalikan skala kerja yang lebih besar dan kompleks. Sejak itu, kami semakin yakin dengan keupayaan pasukan.
“Perkembangan syarikat dari awal penubuhan hingga kini menunjukkan banyak perubahan positif apabila jumlah projek dan prestasi kewangan meningkat dari tahun ke tahun. Kami juga menyasarkan keuntungan lebih tinggi pada masa hadapan selari dengan pertumbuhan syarikat,” katanya.
Menurut Azizzul Hadi, peningkatan tersebut didorong oleh pertambahan projek serta sistem pengurusan syarikat yang semakin tersusun.
Melihat permintaan yang semakin meningkat, ayah kepada tiga anak itu turut menyasarkan pembukaan cawangan baharu di luar kawasan Lembah Klang pada masa hadapan.
Katanya, salah satu pengalaman paling bermakna ialah projek melibatkan seorang pelanggan yang cerewet.
Sepanjang proses perbincangan, pelanggan tersebut kerap menukar keputusan sehingga hampir menimbulkan keraguan untuk meneruskan projek.
Namun hasil akhir membuahkan kepuasan apabila pelanggan memuji ketepatan hasil kerja yang hampir menyamai lukisan 3D asal.
“Itu antara detik yang paling membanggakan kerana usaha kami akhirnya dihargai. Dalam perniagaan ini, saya sentiasa tekankan kepercayaan pelanggan sebagai asas kelangsungan perniagaan.
“Saya percaya perkhidmatan berkualiti, komunikasi jujur dan produk bermutu menjadi kunci utama," katanya.
Ringkasan AI
- Azizzul Hadi Wasimin memilih untuk membina perniagaan di bidang reka bentuk hiasan dalaman setelah menerima skim pemberhentian kerja secara sukarela
- Beliau memulakan Prokitch Interior Design secara freelance sebelum berkembang menjadi syarikat berkat pengalaman industri sejak 2016
- Dengan modal permulaan sehingga RM40,000, Azizzul Hadi menguruskan hampir keseluruhan operasi syarikat pada peringkat awal sendiri
- Prokitch Interior Design, yang berpejabat di Setia Alam, Selangor, menawarkan perkhidmatan reka bentuk hiasan dalaman termasuk pembuatan kabinet
- Kepercayaan dan kepuasan pelanggan menjadi asas utama perniagaan, mendorong Prokitch mencapai pertumbuhan dan pembukaan cawangan baru di masa hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
