Ringgit susut berbanding dolar AS ketika ketegangan tarif AS-EU meningkat

RINGGIT menyusut berbanding dolar AS ketika ditutup pada Selasa berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati dalam keadaan ketegangan tarif yang semakin meningkat antara AS dan Kesatuan EU. Gambar hiasan
RINGGIT menyusut berbanding dolar AS ketika ditutup pada Selasa berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati dalam keadaan ketegangan tarif yang semakin meningkat antara AS dan Kesatuan EU. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT menyusut berbanding dolar AS ketika ditutup pada Selasa berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati dalam keadaan ketegangan tarif yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0530/0580 berbanding dolar AS daripada 4.0520/0570 semasa ditutup pada Isnin.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pertikaian perdagangan yang semakin meningkat antara AS dan EU mengenai status Greenland telah mengejutkan pasaran kerana ini di luar jangkaan pasaran.

"Sehubungan itu, ringgit sebahagian besarnya tidak terjejas dengan penurunan sederhana dolar AS hari ini, yang menyaksikan pelabur enggan menambah pendedahan pelaburan dalam persekitaran risiko yang mudah terjejas,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran kekal berhati-hati, dengan harga bon kerajaan Jepun jangka panjang menyusut apabila Jepun menghampiri pilihan raya pada Februari, dengan dasar populis dijangka menjadi daya tarikan utama dalam kalangan ahli politik.

"Selain itu, Indeks Dolar AS (DXY) turut susut 0.90 peratus kepada 98.499 mata manakala harga emas semasa meningkat 1.14 peratus kepada US$4,724.19 bagi setiap auns apabila peniaga dan pelabur mencari perlindungan dengan melabur dalam logam berharga itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, di dalam negara, data ekonomi menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025, dengan data eksport terkini berkembang 10.4 peratus pada Disember, meningkat daripada pertumbuhan 7.0 peratus pada bulan sebelumnya.

"Pada masa sama, kadar inflasi meningkat secara beransur-ansur kepada 1.6 peratus pada Disember, menunjukkan Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil apabila mereka mengadakan mesyuarat pada Khamis," katanya.

Terdahulu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan jumlah perdagangan Malaysia pada 2025 mencapai nilai tertinggi yang pernah merekodkan, melepasi paras RM3 trilion kepada RM3.06 trilion.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pertumbuhan itu adalah peningkatan 6.3 peratus tahun ke tahun, dengan eksport melebihi import untuk menjana lebihan perdagangan sebanyak RM151.80 bilion.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding euro kepada 4.7530/7588 daripada 4.7100/7159 pada Isnin, susut berbanding yen Jepun kepada 2.5696/5729 daripada 2.5657/5692 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4618/4686 daripada 5.4321/4388.

Mata wang tempatan juga lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1602/1646 daripada 3.1521/1562, rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0397/0629 daripada 12.9623/9845 dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina masing-masing pada 239.0/239.4 dan 6.81/6.83. - Bernama

Ringkasan AI

  • RINGGIT menyusut berbanding dolar AS kerana sentimen pasaran yang berhati-hati akibat ketegangan tarif antara AS dan EU
  • Mata wang tempatan turun nilai berbanding euro, yen Jepun, dan pound Britain
  • Ketidakpastian perdagangan antara AS dan EU mengejutkan pasaran
  • Pertumbuhan ekonomi Malaysia dan eksport bertahan kuat dengan pencapaian positif pada 2025
  • Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan RM151.80 bilion dengan nilai perdagangan melebihi RM3 trilion pada 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!