[VIDEO] 'Saya nak ambil tali saja, tempat pun dekat'

KUALA LUMPUR - “Bos suruh ambil barang guna motosikal dia. Tidak sampai lima minit, saya sudah kena tahan.”
Demikian alasan diberikan oleh seorang pekerja kontraktor pembersihan warga asing berusia 28 tahun apabila ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dijalankan di sekitar ibu kota pada Selasa.
Lelaki warga Indonesia itu berkata, dia hanya menunggang sebuah motosikal milik majikannya untuk mengambil tali ikat kain rentang (banner) di kawasan berhampiran sebelum ditahan penguat kuasa.
“Saya nak ambil tali saja untuk ikat banner. Tempat pun dekat, lima minit je. Tak sangka terus kena tahan,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi pada Selasa.
Menurutnya, dia mengakui tidak memiliki lesen memandu dan jarang menunggang motosikal.
“Saya memang tak ada lesen. Selalunya saya tak naik motosikal. Hari ini saja sebab nak ambil barang (tali ikat kain rentang), tiba-tiba penguat kuasa datang dan tahan,” ujarnya.
Tambahnya, tali itu sepatutnya digunakan bagi kerja pemasangan kain rentang, namun tugasan berkenaan terpaksa dibatalkan selepas dirinya ditahan.

Dalam operasi sama, wartawan Sinar Harian yang menyertai Ops Pewa turut mendapati terdapat segelintir penunggang motosikal warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.
Bagaimanapun, tindakan melarikan diri itu berjaya dipatahkan selepas pihak berkuasa bertindak pantas menahan mereka untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 2 petang, sebanyak 323 buah kenderaan diperiksa dengan 52 motosikal, lima lori dan sebuah kereta dikenakan tindakan sita.
"Sebanyak 283 notis dikeluarkan dan antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans," katanya.
Beliau berkata, kesemua kenderaan tersebut dipandu oleh lima puluh lapan 58 warga asing dari Bangladesh (10), Indonesia (11), Myanmar (8), Pakistan (15), India (13) dan seorang warga Palestin.
"Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan saman dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 23(1), 23(2) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pekerja kontraktor pembersihan warga Indonesia ditahan kerana menaiki motosikal tanpa lesen
- Dia hanya berniat untuk mengambil tali ikat kain rentang bagi majikannya sebelum ditahan
- Mengakui tidak memiliki lesen memandu dan jarang menunggang motosikal
- Operasi Pemandu Warga Asing menyaksikan 323 kenderaan diperiksa dan 283 notis dikeluarkan
- Kesalahan utama termasuk tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
