[VIDEO] ART: Malaysia akan dapatkan jaminan bertulis AS - Anwar

A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan mendapatkan jaminan bertulis daripada Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kedaulatan ekonomi Malaysia tidak terjejas melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Anwar
Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu penting bagi memastikan semua kepentingan nasional terutama dalam aspek ekonomi kekal terpelihara.

Beliau berkata, tumpuan utama kerajaan ialah berkaitan Klausa 72 dalam perjanjian tersebut yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan ramai.

"Saya dah jelaskan tadi, iaitu kita belum sampai ke tarikh yang dimuktamadkan. Ya, dia bila ada perjanjian, dia bagi deadline untuk kita muktamadkan. Sekarang ini masih peringkat perundingan. Dan saya dah maklum kepada Menteri MITI dan kita juga hubungi, beberapa jalur lain untuk mendapatkan penjelasan.

"Sebab itu saya bagi contoh tadi, umpamanya dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), jaminan dia itu jaminan bertulis dalam mesyuarat yang dicatat tetapi kita berpendapat lebih baik jaminan itu bertulis atau menjadi lampiran kepada perjanjian.

"Hal-hal itu belum dimutamadkan, sebab cara yang bertulis itu belum (diputuskan) kerana belum dapat tempoh dia. Terima kasih," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung kebimbangan terhadap perjanjian perdagangan antarabangsa itu yang mungkin menyekat ruang kerajaan melaksanakan dasar tempatan secara bebas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi mengenai keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan Malaysia terus mengekalkan pendirian sebagai negara berkecuali dalam suasana perkembangan geopolitik mutakhir ini, Anwar berkata, buat masa ini tiada usaha ke arah tersebut.

Ujarnya, Malaysia kekal bebas dan ia dibuktikan dengan pelbagai langkah dibuat negara termasuk menyertai BRICS tetapi dalam masa sama tetap mengekalkan hubungan dengan AS, China dan Eropah.

Namun katanya, teras dasar luar negara tetap berpegang kepada prinsip keadilan serta kemanusiaan dan ini dibuktikan dengan sikap lantang Malaysia dalam soal Gaza.

"Jadi ini yang mengemudi kita. Apakah perlu pindaan undang-undang atau Perlembagaan? Saya rujuk pada Jabatan Peguam Negara dan rujuk semua perjanjian-perjanjian yang dulu dan ketetapan yang lalu dan dasar-dasar yang dirangka.

"Penggubalan dasar negara itu tidak memerlukan pindaan perlembagaan asalkan ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan semangat Perlembagaan," katanya.

Ringkasan AI

  • Malaysia akan mendapatkan jaminan bertulis dari Amerika Syarikat untuk memastikan kedaulatan ekonomi Malaysia tidak terjejas melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya memelihara kepentingan nasional terutama dalam ekonomi
  • Tumpuan utama kerajaan adalah pada Klausa 72 yang menimbulkan kebimbangan
  • Klausa dan jaminan tersebut masih dalam peringkat perundingan
  • Malaysia kekal bebas dan berpegang kepada prinsip keadilan serta kemanusiaan dalam dasar luarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!