[VIDEO] Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi dalam sejarah, cecah RM3 trilion tahun lalu - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan mencecah RM3 trilion buat pertama kali pada tahun lalu, sekali gus merekodkan nilai tertinggi dalam sejarah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu didorong oleh trend perdagangan positif dan usaha mengekalkan hubungan perdagangan yang baik dengan rakan dagang termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.

"Bagi sembilan bulan pertama 2025, pelaburan diluluskan ialah RM285.2 bilion iaitu pertambahan 13.2 peratus ketimbang tempoh sama 2024. Pelaburan diluluskan adalah tertinggi dalam sejarah setelah RM329.5 bilion pada 2023 dan RM384.4 bilion pada 2024.

"Tetapi satu kenyataan yang sangat membanggakan, alhamdulillah, yang akan diumumkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada 12 tengah hari ini iaitu trend perdagangan positif dan tertinggi dalam sejarah.

"Sejarah tercipta dan angka itu akan diumumkan secara terperinci tengah hari ini dengan jumlah perdagangan untuk tahun 2025 mencecah RM3 trilion buat pertama kalinya," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai langkah dan usaha kerajaan bagi menghadapi ketegangan perdagangan dan geopolitik global ketika ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan dalam masa sama turut meneroka bidang dan pasaran baharu termasuk teknologi dalam usaha untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara.

Sambil mengakui kedudukan dan perubahan geopolitik, beberapa dasar kuasa besar yang tidak menentu termasuk AS turut memberi kesan kepada Malaysia dan memerlukan tindakan segera, Anwar menjelaskan kerajaan mengambil langkah segera bagi menghadapi perkara tersebut.

"Baik soal tarif ataupun beberapa keputusan yang melibatkan negara-negara lain, Eropah, soal Greenland, soal Venezuela yang menyebabkan terjejas sedikit sebanyak urusan perdagangan antarabangsa dan juga penembusan pasaran baru.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Malaysia realistik untuk melihat kenyataan ini. Alhamdulillah setakat ini selain daripada rakan perdagangan kekal yang lama, AS, Eropah, China, kita juga telah berjaya menerobos ke rantau dan juga kawasan baru untuk meningkatkan pasaran dan juga perdagangan," katanya.

Ringkasan AI

  • Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan mencecah RM3 trilion buat pertama kali pada tahun lalu
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan kejayaan ini didorong oleh trend perdagangan positif dan hubungan baik dengan rakan dagang seperti AS, Eropah, dan China
  • Pelaburan yang diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2025 meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024, mencapai RM285.2 bilion
  • Anwar mengumumkan bahwa jumlah perdagangan untuk tahun 2025 mencapai angka tertinggi dalam sejarah dengan RM3 trilion
  • Kerajaan Malaysia mengambil langkah segera menghadapi kesan dasar geopolitik global dan meneroka pasaran baharu termasuk teknologi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!