PRK Kinabatangan, Lamag: 8 pusat undi perlu helikopter, 1 bot bawa peti undi

Ramlan mengadakan sidang media selepas meninjau proses pengundian awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan pada Selasa. Foto Bernama
Ramlan mengadakan sidang media selepas meninjau proses pengundian awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lapan pusat undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag memerlukan pengangkutan udara manakala sebuah bot untuk membawa peti undi pada hari pengundian yang berlangsung pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, beliau tidak pasti jika sebanyak lapan helikopter akan digunakan untuk kelapan-lapan pusat pengundian tersebut.

"Ada lapan pusat mengundi perlu helikopter, tetapi saya tidak pasti sama ada lapan helikopter akan digunakan tetapi ada sebahagiannya helikopter yang sama akan datang ke beberapa pusat undi.

"Ada satu bot akan digunakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tundung Bohangin. Semua peti undi kena datang ke pusat penjumlahan undi.

"Memang ada menggunakan bot tapi kita telah mengambil langkah yang sebaik mungkin bagi memastikan semua peti undi akan sampai, kita beri jaminan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan melakukan tinjauan proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, pada Selasa.

Ditanya mengenai persediaan SPR untuk proses pengundian tersebut, Ramlan memberi jaminan bahawa semuanya akan berjalan dengan lancar.

"Kita bersedia dan akan pastikan semuanya berjalan lancar. Jangan risau dengan integriti atau sebagainya. 

"Kita juga bersedia dengan bekalan elektrik, internet kita akan sediakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap peratusan keluar mengundi akan tinggi atau kekal seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap 'trend' tersebut dapat kita ulang, pada PRN lalu peratusan keluar 65 peratus. Jadi kita harap kita boleh kekal sekurang-kurangnya dengan peratusan tersebut dan kalau boleh lebih tinggi daripada 60 peratus," katanya.

Ditanya mengenai sebarang kesalahan sepanjang PRK kali ini, beliau berkata, setakat ini SPR hanya menerima satu aduan tetapi belum mendapat laporan rasmi mengenainya.

"Kalau ikut laporan rasmi yang saya terima setakat semalam, tiada sebarang aduan yang diterima berkaitan kesalahan pilihan raya, tetapi saya difahamkan pada pagi ini ada satu aduan yang telah diterima cuma saya belum dapat laporan rasmi.

"Tetapi secara umumnya, proses pilihan raya kali ini berjalan dengan baik, tertib dan lancar serta tiada sebarang kejadian yang serius," katanya.

Ringkasan AI

  • SPR menjangkakan perlunya pengangkutan udara untuk lapan pusat undi dan sebuah bot untuk peti undi di PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
  • Belum pasti sama ada lapan helikopter akan digunakan atau beberapa helikopter yang sama untuk pusat-pusat undian tersebut
  • Ada penggunaan bot di Sekolah Kebangsaan Tundung Bohangin untuk pengangkutan peti undi
  • SPR telah membuat persediaan termasuk bekalan elektrik dan internet untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar
  • Harapan untuk kekal atau meningkatkan peratusan keluar mengundi daripada 65% seperti pada Pilihan Raya Negeri yang lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!