Rapid On-Demand laksanakan struktur tambang tetap RM2 mulai 1 Februari

(Dari kiri) Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria, Ketua Bahagian Perancangan dan Strategi Prasarana Sharul Azwa Abdul Rani dan Ketua Unit Usahasama Strategik dan Pembangunan Infrastruktur Rapid Bus, Khairil Khalid ketika sidang media selepas sesi taklimat mengenai Perkembangan Terkini Perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) di Menara Prasarana hari ini.Foto Bernama
(Dari kiri) Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria, Ketua Bahagian Perancangan dan Strategi Prasarana Sharul Azwa Abdul Rani dan Ketua Unit Usahasama Strategik dan Pembangunan Infrastruktur Rapid Bus, Khairil Khalid ketika sidang media selepas sesi taklimat mengenai Perkembangan Terkini Perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) di Menara Prasarana hari ini.Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Rapid On-Demand (ROD) akan melaksanakan struktur tambang tetap berkuat kuasa 1 Februari 2026, yang menyaksikan peralihan daripada fasa promosi RM1 kepada model harga kekal.

Ketua Jabatan Perancangan dan Strategi Prasarana Malaysia Berhad Sharul Azwa Abd Rani berkata, kadar tambang baharu itu turut melibatkan pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga.

"Kadar semasa sebenarnya adalah tambang promosi RM1… jadi, tambang promosi ini akan berakhir seiring dengan tempoh POC (Pembuktian Konsep)... bermula 1 Februari 2026, tambang tetap akan dilaksanakan,” katanya pada sesi taklimat media mengenai kemas kini perkhidmatan ROD di Menara Prasarana di sini hari ini.

Beliau berkata, Prasarana Malaysia Berhad merancang menambah sebanyak 300 unit van elektrik (EV) ke dalam sistem perkhidmatan ROD secara berperingkat mulai akhir 2027 hingga penghujung tahun 2028 bagi memperluas liputan dan memperkukuh operasi perkhidmatan itu.

Sharul Azwa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 130 unit van EV akan ditempatkan di Lembah Klang manakala 170 lagi di Pulau Pinang selari dengan perancangan penambahan zon operasi masing-masing.

"Di Lembah Klang, penambahan melibatkan 22 zon baharu manakala di Pulau Pinang sebanyak 23 zon akan ditambah,” katanya pada sesi taklimat media itu.

Beliau berkata, setakat ini, perkhidmatan ROD merangkumi keseluruhan 82 zon, dengan 71 zon beroperasi di Lembah Klang serta 11 zon di Pulau Pinang, dan Prasarana turut memberi perhatian terhadap keperluan golongan kurang upaya dalam penambahbaikan perkhidmatan itu termasuk dari segi ciri operasi serta perancangan masa hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!