FOMCA gesa hak pengguna diperjelas dalam penamatan perkhidmatan telco

Menurut Nur Asyikin (gambar kecil) FOMCA menerima beberapa aduan membimbangkan yang menunjukkan wujudnya kelemahan sistemik dan kegagalan amalan terbaik oleh syarikat telekomunikasi dalam mengurus penutupan akaun pengguna. Foto hiasan
Menurut Nur Asyikin (gambar kecil) FOMCA menerima beberapa aduan membimbangkan yang menunjukkan wujudnya kelemahan sistemik dan kegagalan amalan terbaik oleh syarikat telekomunikasi dalam mengurus penutupan akaun pengguna. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan syarikat telekomunikasi menyatakan dengan jelas hak pengguna dalam proses penamatan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Operasinya, Nur Asyikin Aminuddin berkata, perkara itu perlu dinyatakan dalam kontrak dan tatacara prosedur, di mana setiap pengguna perlu diberikan surat pelepasan penamatan atau pengesahan penutupan akaun secara automatik sebaik sahaja akaun ditutup.

Ujar beliau, dokumen tersebut perlu diberikan secara automatik tanpa perlu diminta oleh pengguna.

“Surat pelepasan penamatan akaun bukan sekadar formaliti, tetapi merupakan perlindungan penting bagi pengguna daripada tuntutan tidak wajar pada masa hadapan.

“Tanpa keperluan mandatori ini, pengguna akan terus berada dalam kedudukan lemah, manakala syarikat telekomunikasi dan pihak pemungut hutang pula bebas memanfaatkan kelompongan sistem sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Nur Asyikin, kegagalan syarikat telekomunikasi mengeluarkan surat tersebut telah membuka ruang kepada pihak ketiga, termasuk agensi pemungut hutang, untuk menuntut bayaran lama walaupun akaun pengguna telah ditutup sepenuhnya.

“Isu ini bukan sahaja menimbulkan tekanan kewangan dan emosi kepada pengguna, malah menjejaskan keyakinan awam terhadap keseluruhan sistem penamatan akaun yang sepatutnya memudahkan peralihan pengguna antara penyedia perkhidmatan tanpa penalti atau risiko tersembunyi.

“Pengguna tidak seharusnya terus dibelenggu dengan tuntutan hutang lama selepas mereka mematuhi semua prosedur penutupan akaun yang ditetapkan,” ujarnya.

Nur Asyikin berkata, FOMCA menerima beberapa aduan membimbangkan yang menunjukkan wujudnya kelemahan sistemik dan kegagalan amalan terbaik oleh syarikat telekomunikasi dalam mengurus penutupan akaun pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, sudah tiba masanya MCMC memastikan amalan penamatan atau penutupan akaun benar-benar melindungi pengguna, selari dengan hak pengguna untuk memilih dan hak untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan telus,” katanya.

Ringkasan AI

  • FOMCA menggesa MCMC mewajibkan syarikat telekomunikasi menyatakan hak pengguna dalam penamatan perkhidmatan
  • Setiap pengguna harus diberikan surat pelepasan penamatan atau pengesahan penutupan akaun secara automatik
  • Dokumen penamatan akaun adalah perlindungan bagi pengguna dari tuntutan tidak wajar
  • Kegagalan mengeluarkan surat penamatan buka ruang tuntutan oleh pihak ketiga walaupun akaun ditutup
  • FOMCA terima aduan kelemahan sistem penutupan akaun, gesa MCMC pastikan perlindungan pengguna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!