PKP: Lima lelaki kantoi lepak, minum air ketum

Lima lelaki ditahan kerana ingkar PKP dengan melepak dan minum air ketum di sebuah pondok di Pasir Salak hari ini. Foto: PDRM
Lima lelaki ditahan kerana ingkar PKP dengan melepak dan minum air ketum di sebuah pondok di Pasir Salak hari ini. Foto: PDRM
A
A
A

PASIR SALAK - Tindakan seorang lelaki menjual air ketum membawa padah apabila dia ditahan bersama empat pelanggannya di sebuah pondok di Kampung Sungai Badak, Jalan Ulu Dedap, Kampung Gajah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, kesemua lelaki berusia 23 hingga 50 tahun itu ditahan ketika polis menjalankan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kelima-lima suspek itu gagal memberikan alasan munasabah ketika berkumpul di pondok berkenaan.

"Penjelasan yang diberi mencurigakan dan tangkapan dibuat selepas dipercayai dengan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.

"Pemeriksaan lanjut menemui tong ais yang mengandungi 17 botol minuman disyaki air ketum," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, suspek berusia 50 tahun mengakui minuman tersebut adalah miliknya untuk dijual kepada pelanggan.

"Kesemua mereka mengakui faham dan telah ingkar PKP berikutan penularan penyakit koronavirus (Covid-19).

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Barudin berkata, empat lelaki termasuk tiga lelaki warga Myanmar dalam sebuah teksi ditahan di kawasan parkir sebuah hotel di Changkat Sodang, Seri Iskandar dekat Parit pada jam 3.40 petang.

Katanya, mereka ditahan kerana gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di luar rumah selain melanggar PKP.

Beliau berkata, pemandu teksi berusia 49 tahun memberitahu, mereka datang dari Ipoh ke Seri Iskandar untuk mengambil bantuan makanan ketika disoal pihak berkuasa.

“Tiga lelaki warga asing hanya mengemukakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.