DAP tak takut dengan 'penentangan habis-habisan' parti lain

KLANG - DAP tidak tergugat dengan ikrar terbaharu pihak tertentu yang berhasrat menyerang parti berkenaan secara ‘habis-habisan’, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.
Anthony menegaskan, tumpuan DAP kekal kepada isu-isu penting demi menjaga kebajikan rakyat.
Meskipun tidak menyebut mana-mana pihak, beliau menekankan bahawa DAP tidak takut dengan cabaran.
"Mereka yang mahu melawan DAP berhak berbuat demikian. Kamu boleh melawan kami, tapi kami juga boleh melawan kamu.
"Namun, apabila kami sertai politik dan apabila DAP ditubuhkan, ia bukan untuk melawan mana-mana parti, individu atau kaum. Kami menyertai DAP bukan untuk lawan orang, tetapi melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta (retorik) perkauman," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin.
Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menasihati ahli DAP untuk tidak melayan serangan sedemikian, sebaliknya terus menumpukan perhatian kepada matlamat parti sebagai wadah politik.
"Kita tak perlu layan orang yang mungkin mempunyai hala tuju tidak jelas dan pemikiran kurang matang.
"DAP mesti kekal komited terhadap tanggungjawab dan tumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja membina negara sambil membantu rakyat," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa minggu hadapan.
Beliau memaklumkan, ia sebahagian daripada langkahnya untuk melawan DAP 'habis-habisan'.
Ringkasan AI
- DAP tidak tergugat dengan ikrar lawan menyerang parti secara total
- Anthony Loke menegaskan tumpuan kepada isu penting dan kebajikan rakyat
- DAP tidak takut dengan cabaran politik
- Sasaran DAP adalah melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bukan individu atau kaum
- Anthony menasihati ahli DAP untuk abaikan serangan dan fokus kepada matlamat parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
