'Kita ikhlas, tapi kadangkala keikhlasan itu tak disambut' 

Anthony ketika hadir merasmikan Konvensyen DAP Selangor pada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anthony ketika hadir merasmikan Konvensyen DAP Selangor pada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KLANG - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menempelak segelintir ahli UMNO yang enggan mengakui pernah bekerjasama dengan partinya dalam membentuk kerajaan.

Anthony berkata, DAP pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu sanggup menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang dimenanginya kepada UMNO. 

Menurut beliau, walaupun terkilan, DAP akur dengan keputusan tersebut.

"Jadi, ini pun menunjukkan keikhlasan kita (DAP). Tapi kadangkala keikhlasan kita ini tak disambut. Ada pula antara mereka cakap tak pernah bekerjasama dengan DAP.

"Ini saya tak fahamlah. Kenyataan yang tidak masuk akal, kita dah bekerjasama dalam pilihan raya sehingga menyerahkan kerusi kepada UMNO.

"Dalam DAP, kita memang berterus terang kepada penyokong bahawa parti bekerjasama dengan UMNO dalam kerangka Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN). Malah, kita berkempen untuk UMNO dalam pilihan raya, jadi jangan tipu diri sendiri atau tipu pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin.

Sementara itu, Anthony memaklumkan, DAP akan kekal bertanding di kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya akan datang. 

Artikel Berkaitan:

"Mana hak kita, kita akan terus bertanding. DAP tidak melarang parti lain untuk bertanding dan diharapkan parti lain juga begitu.

"Kalau kita bekerjasama sebagai satu gabungan, maka pembahagian kerusi mesti berdasarkan prinsip 'incumbency'. 

"DAP sudah berkorban semasa PRN lalu. Dalam mana-mana kerjasama mesti ada prinsip, jadi kalau prinsip pembahagian kerusi itulah prinsip asasnya," ujar beliau.

Untuk rekod, kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan majoriti 3,014 undi.

 

Ringkasan AI

  • Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menempelak segelintir ahli UMNO yang enggan mengakui pernah bekerjasama dengan DAP dalam membentuk kerajaan
  • DAP menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua yang dimenanginya kepada UMNO pada PRN Selangor lalu
  • Anthony Loke menyatakan keikhlasan DAP untuk bekerjasama dengan UMNO dalam kerangka Pakatan Harapan-Barisan Nasional
  • DAP akan kekal bertanding di kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya akan datang dan mengharapkan pembahagian kerusi berdasarkan prinsip 'incumbency'
  • Kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Datuk Johan Abd Aziz dari BN dengan majoriti 3,014 undi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!