Skandal Lebuh Raya MEX II: Aset jutaan ringgit Abu Sahid di luar negara sedang dikesan

Azam
Azam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aset Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit di luar negara sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu dilaporkan sebagai sebahagian dalam siasatan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi di bawah bantuan perundangan bersama antara negara membabitkan Jabatan Peguam Negara.

"SPRM sedang bekerjasama dengan agensi luar negara terutama dari United Kingdom (UK) bagi mendapatkan kembali aset berkenaan yang dijangka membabitkan jumlah lebih besar.

"SPRM juga telah menyediakan draf kepada Jabatan Peguam Negara untuk memohon maklumat daripada pihak luar negara termasuk daripada The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari UK," katanya seperti dipetik media tempatan.

Pada 8 September lalu, Abu Sahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta, berkaitan projek Lebuhraya MEX II.

Ia membabitkan projek sambungan MEX II yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tahun lalu, SPRM menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik individu berkenaan termasuk beg tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai.

Dalam operasi itu juga, SPRM menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta, dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Artikel Berkaitan:

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset berkenaan disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta AMLATFPUAA 2001.

Ringkasan AI

  • Aset Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang bernilai jutaan di luar negara sedang dikesan SPRM
  • Siasatan berkaitan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram projek Lebuhraya Putrajaya ke KLIA
  • Kerjasama dengan agensi luar negara seperti UK untuk mendapatkan kembali aset
  • Abu Sahid mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram
  • SPRM menyita aset berharga kira-kira RM32 juta termasuk barang mewah dan wang tunai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!