PGA Briged Tengah rampas pelbagai barangan bernilai RM3 juta

KUALA LUMPUR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah melaksanakan 22 serbuan dalam tempoh 1 Januari hingga kini dengan dengan rampasan dan sitaan pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, seramai 94 individu ditahan dalam operasi di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Jumlah rampasan melibatkan Ibu Pejabat Briged berjumlah RM197,998, Batalion 4 PGA (RM1 juta), Batalion 5 PGA (RM48,792), Batalion 6 PGA (RM1.9 juta) dan Batalion 19 PGA (RM74,350).
“Kesemua rampasan ini melibatakan antaranya barangan kontraban, bot dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Briged Tengah PGA di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Hakemal berkata sebanyak 35 kes berkaitan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) direkodkan sejak 1 Januari tahun lalu hingga kini, melibatkan tangkapan seramai 442 individu dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.33 juta.
"Daripada jumlah tangkapan itu, warga Indonesia merekodkan angka tertinggi iaitu 247 lelaki, 118 perempuan serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan," katanya.
Menurutnya, tangkapan turut melibatkan 43 lelaki dan sembilan perempuan warga Myanmar, selain enam kanak-kanak perempuan, manakala tiga lelaki warga Bangladesh turut ditahan.
"Bagi warga tempatan pula, seramai 12 lelaki dan seorang perempuan direkodkan.
“Jumlah keseluruhan tangkapan bagi tempoh ini adalah 442 orang dengan kejayaan rampasan bernilai RM3,333,308.40,” jelasnya.
Mengulas statistik tahun semasa, beliau berkata bagi awal Januari hingga setakat ini, dua kes ATIPSOM direkodkan melibatkan 61 warga Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
