Suami isteri 'dikurung', tukang urut larikan diri

AMPANG – Sepasang suami isteri warga emas warga tempatan berdepan detik mencemaskan apabila mereka 'terperangkap' di dalam premis urutan di sebuah pusat beli belah Galaxy Ampang di sini pada Sabtu.
Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian, dia menemani isterinya sedang menjalani urutan kaki sebelum serbuan Jabatan Imigresen Malaysia.
"Operasi itu menyebabkan tiga pekerja warga asing yang berada di dalam premis bertindak melarikan diri dan mengunci pintu kaca premis berkenaan," katanya.
Susulan insiden tersebut, pihak bomba terpaksa dipanggil bagi membantu membuka pintu untuk mengeluarkan pasangan terbabit.
Wartawan Sinar Harian yang mengikuti operasi itu menyaksikan beberapa wanita warga asing menangis dan merayu supaya dibebaskan.
Seramai 217 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan secara berasingan dalam operasi yang dijalankan di dua pusat beli belah sekitar ibu negara pada Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, sebanyak 13,910 operasi telah dijalankan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 239,326 individu pada tahun lalu.
"Hasil pemeriksaan tersebut, seramai 92,360 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan, selain 2,163 majikan yang turut dikenakan tindakan," katanya.
Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Januari 2026, Imigresen telah melaksanakan sebanyak 504 operasi dengan pemeriksaan melibatkan 5,970 individu.
"Daripada jumlah itu, seramai 1,759 PATI ditahan manakala 35 majikan turut diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri warga emas terperangkap di premis urutan di Galaxy Ampang disebabkan operasi Imigresen
- Tiga pekerja warga asing lari dan kunci pintu premis semasa operasi
- Pasangan itu dibebaskan oleh pihak bomba setelah pintu dibuka
- Sebanyak 217 PATI ditahan dalam operasi di dua pusat beli belah
- Daripada pemeriksaan tahun lalu, 92,360 PATI dan 2,163 majikan ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
