Ismail Sabri sokong Rumah Bangsa

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa UMNO agar bangkit dan keluar daripada nostalgia kegemilangan parti itu memandangkan sokongan orang Melayu kini hanya sekitar 28 peratus.
Menurut beliau dalam hantaran di Facebook pada Jumaat, UMNO perlu menerima hakikat bahawa sokongan orang Melayu terhadap parti itu semakin merosot.
“UMNO perlu bangkit dan keluar dari nostalgia kegemilangan UMNO. UMNO perlu menerima hakikat semasa bahawa orang Melayu sudah tidak bersama kita lagi.
“Sokongan orang Melayu kepada kita hanya sekitar 28 peratus sahaja,” katanya.
Ismail Sabri menekankan bahawa dalam situasi politik semasa, penyatuan ummah Melayu memainkan peranan penting dalam memelihara kedudukan agama dan bangsa di negara ini.
“Saya menyambut baik ucapan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) terutamanya penekanan beliau terhadap penyatuan dan bukan pemisahan bagi memperkukuhkan UMNO.
“Gagasan Pintu Rumah Bangsa yang dibawa oleh Presiden akan membuka ruang penyatuan, merapatkan jurang perbezaan dan menyatukan kembali kekuatan politik Melayu termasuk membawa masuk kembali mereka yang berada ‘di luar’.
“Namun, saya berharap semua pihak benar-benar ikhlas dan jujur untuk melaksanakan agenda besar ini demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi meneliti penyertaan semula mana-mana bekas ahli parti itu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc.
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa UMNO agar bangkit dan meninggalkan nostalgia kegemilangan parti
- Sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin merosot, kini hanya sekitar 28 peratus
- Ismail Sabri menekankan penyatuan ummah Melayu dalam memelihara kedudukan agama dan bangsa
- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfokuskan tentang penyatuan dan memperkuatkan UMNO
- Penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk meneliti penyertaan semula bekas ahli parti secara individu atau en bloc
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

