UMNO diingatkan bersedia berdepan kepelikan politik

KUALA LUMPUR – UMNO diingatkan supaya sentiasa bersedia berdepan sebarang kepelikan politik termasuk kerjasama antara parti yang berlainan di peringkat Persekutuan dan negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi politik yang pelik itu sudah pun dialami sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) baru-baru ini.
“Kita membuat keputusan menentang GRS, tetapi rakan kita boleh pula sepentas bersama mereka. Kesudahannya, apabila kerajaan mahu dibentuk, semua pihak duduk semeja atas nama kestabilan politik. Tak ke pelik politik hari ini?
“Tidak terbayang, andai nanti wujud kerjasama politik antara parti yang berlainan haluan di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, kerjasama di peringkat Persekutuan selepas ini mungkin tidak lagi mencerminkan kerjasama politik di peringkat negeri kerana realiti politik masa kini penuh dengan kepelikan.
“Itulah hakikat politik yang perlu kita hadapi hari ini. Ia menuntut pengorbanan, kefahaman dan kebersamaan di semua peringkat.
“Jangan fikir kepentingan diri sendiri, keutamaan kita adalah UMNO sebagai sebuah parti,” tegasnya.
Ringkasan AI
- UMNO diingatkan bersedia berdepan kepelikan politik menjelang PRU16
- Situasi politik pelik dialami pada Pilihan Raya Negeri Sabah
- Wujud kerjasama antara parti-parti berlainan haluan
- Kerjasama politik Persekutuan mungkin berbeza di negeri
- Keutamaan pada kepentingan UMNO dan pengorbanan bersama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

