Duda sanggup pandu 200km sebelum dicekup berkhalwat dengan janda

MUAR - Perjalanan jauh seorang duda yang sanggup memandu 200 kilometer bagi bertemu kekasih hatinya berakhir di tangan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) apabila mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat, awal pagi Jumaat.
Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 1.45 pagi ketika operasi cegah maksiat dijalankan.
Kenyataan dimuat naik menerusi laman Facebook Lampu Suluh Banteras Maksiat JAINJ memaklumkan, sebaik tiba di bilik hotel yang didiami pasangan terbabit, penguat kuasa mengetuk pintu sebelum dibuka lapan minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan baju T.
“Selepas memperkenalkan diri, penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan menemui seorang wanita berada di dalam bilik sama, duduk di bucu katil serta berpakaian seluar panjang dan baju T dengan keadaan katil yang berselerak.
“Pasangan itu kelihatan gelisah apabila ditanya mengenai hubungan mereka sebelum masing-masing mengaku bukan suami isteri dan hanya berdua-duaan di dalam bilik berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Ketika sesi soal siasat, pihak penguat kuasa mendapati lelaki terbabit merupakan seorang duda dan memberitahu datang dari negeri lain dengan memandu kereta ke bandar ini bagi berjumpa pasangannya itu yang juga seorang janda selepas membuat janji temu.
Lelaki itu memberi alasan datang ke Muar untuk bercuti dan menikmati makanan tempatan, manakala wanita terbabit bekerja serta menetap di daerah berkenaan.
"Hotel itu ditempah atas nama lelaki terbabit. Wanita berkenaan mendakwa hanya menumpang tandas sambil berbual, namun alasan sedemikian sudah kerap diterima pihak penguat kuasa sebelum terbongkar tujuan sebenar.
"Ratusan kilometer pun sanggup diredah lelaki itu demi untuk melepaskan nafsu selepas mereka berkenalan sejak tahun lalu, malah mereka juga memberitahu bercadang untuk menamatkan status duda dan janda masing-masing," tambah kenyataan laman Facebook itu lagi.
Pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke balai polis serta Pejabat Penguat Kuasa JAINJ Muar untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Ringkasan AI
- Seorang duda memandu 200 kilometer ke Muar untuk bertemu kekasih hatinya tetapi kedua-duanya ditahan kerana berkhalwat
- Pasangan itu ditahan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor pada jam 1.45 pagi semasa operasi cegah maksiat
- Mereka kedapatan berada di dalam bilik hotel dengan pakaian kasual dan keadaan katil yang berselerak
- Lelaki tersebut datang dari negeri lain untuk bertemu pasangan wanita yang bekerja dan tinggal di Muar
- Pasangan tersebut mengaku berkenalan sejak tahun lalu dan berhasrat mengakhiri status duda dan janda mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
