Naik bas 250km jumpa kekasih, lelaki dicekup khalwat dengan pelajar kolej

Anggota Penguatkuasa JAINJ menahan pasangann yang disyaki khalwat di sebuah hotel di Batu Pahat. Foto: JAINJ
Anggota Penguatkuasa JAINJ menahan pasangann yang disyaki khalwat di sebuah hotel di Batu Pahat. Foto: JAINJ
A
A
A

BATU PAHAT – Seorang lelaki sanggup menaiki bas ekspres sejauh kira-kira 250 kilometer demi bertemu seorang pelajar kolej, namun pertemuan itu berakhir apabila mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di sini pada pagi Ahad.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pasangan berusia lingkungan 20-an itu ditahan dalam satu operasi sekitar jam 10 pagi.

Difahamkan, lelaki berkenaan datang dari luar Johor dengan menaiki bas ekspres sebelum disambut oleh wanita tersebut di stesen bas.

“Pasangan tersebut kemudiannya menaiki kenderaan e-hailing ke hotel berkenaan dan mula menginap sejak petang hari sebelumnya.

“Mereka turut keluar makan bersama pada sebelah malam sebelum kembali ke hotel dan bermalam di situ sehingga pagi,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit merupakan seorang pelajar yang menetap di daerah itu, manakala lelaki berkenaan bekerja di negeri lain.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, pasangan itu mengakui hanya berkawan dan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.

“Mereka turut menyatakan hasrat untuk berkahwin pada masa hadapan, namun belum merancang untuk melangsungkan pernikahan dalam masa terdekat kerana wanita itu masih menuntut pelajaran,” ujarnya.

Penguat kuasa JAINJ seterusnya menghubungi keluarga wanita berkenaan bagi tujuan jaminan.

Artikel Berkaitan:

“Ahli keluarga dilaporkan terkejut, kecewa dan amat sedih dengan kejadian yang berlaku, namun terpaksa menerima hakikat tersebut dengan penuh kesabaran,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki menaiki bas ekspres 250 kilometer untuk bertemu pelajar kolej
  • Pasangan tersebut ditahan disyaki berkhalwat di hotel di Batu Pahat pada pagi Ahad
  • Lelaki itu datang dari luar Johor dan dijemput wanita tersebut di stesen bas
  • Kedua-duanya menginap di hotel sejak petang sebelumnya dan keluar makan bersama pada malam hari
  • Mereka mengaku berkawan dan berniat untuk berkahwin di masa hadapan tetapi belum merancang pernikahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!