Penerbangan Malaysia Airlines berpatah balik ke Paris susulan anomali petunjuk enjin

Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 dari Paris ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berpatah balik susulan anomali petunjuk enjin. Gambar hiasan
Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 dari Paris ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berpatah balik susulan anomali petunjuk enjin. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 yang beroperasi dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (CDG) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Januari telah berpatah balik ke CDG sejurus selepas berlepas sebagai langkah berjaga-jaga susulan anomali petunjuk enjin.

Menurut Malaysia Aviation Group (MAG), kru penerbangan telah memohon pengendalian keutamaan dan mematuhi arahan kawalan trafik udara, termasuk penggunaan kod transponder kecemasan selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard untuk memudahkan penerbangan kembali dengan selamat ke CDG bagi pemeriksaan teknikal.

"Pesawat itu mendarat dengan selamat pada 3.35 petang waktu tempatan di Paris,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi WhatsApp pada Khamis.

Ia berkata, penumpang yang terjejas telah dipindahkan ke syarikat penerbangan alternatif yang tersedia, manakala sebahagiannya lagi ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang.

Penerbangan gantian MH21D dijadualkan berlepas dari CDG pada 5 petang waktu tempatan pada Khamis.

"Malaysia Airlines amat kesal atas kesulitan dan gangguan terhadap rancangan perjalanan penumpang kami. Keselamatan kekal sebagai asas paling utama syarikat penerbangan ini,” tambahnya.

Semakan di Flightradar24 mendapati jadual waktu berlepas (STD) penerbangan A350-941 pada 11.10 pagi, namun waktu berlepas sebenar (ATD) ialah pada 2.09 petang sebelum pendaratan kecemasan dilakukan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 dari Paris ke Kuala Lumpur telah berpatah balik ke CDG akibat anomali petunjuk enjin
  • Kru penerbangan mematuhi arahan kawalan trafik udara dan menggunakan kod transponder kecemasan untuk kembali ke CDG
  • Pesawat mendarat dengan selamat di Paris pada 3.35 petang waktu tempatan
  • Penumpang dipindahkan ke syarikat penerbangan alternatif dan sebahagian ditempatkan di hotel
  • Penerbangan gantian MH21D dijadualkan berlepas dari CDG pada 5 petang waktu tempatan hari yang sama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!