PAU 2025 Pemuda UMNO terus main peranan sebagai loceng kecemasan

Dr Muhamad Akmal berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis. Foto Bernama
Dr Muhamad Akmal berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menegaskan mereka akan terus memainkan peranan sebagai 'loceng kecemasan' untuk memastikan tiga 'garis merah' tidak dilanggar mana-mana pihak.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, walau apa sekali pun berlaku, sayap parti tersebut tidak akan takut dan sesekali gentar.

"Walaupun kita duduk dalam satu pasukan, saya nak ulang sekali lagi, kita boleh berkawan, tetapi kalau kamu sentuh agama kami, kalau kamu sentuh bangsa kami, kalau kamu sentuh Raja-Raja kami, mari sini kamu berdepan dengan Pemuda UMNO Malaysia. Tak kira kamu Menteri, Ketua Menteri atau jawatan apa sekalipun.

"Untuk Pemuda menyerah, tidak akan sama sekali menyerah," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ucapan perasmian serentak mesyuarat sayap UMNO pada malam Rabu mengingatkan semua pihak termasuk sekutu politik supaya tidak melanggar tiga 'garis merah' semata-mata kerana parti tersebut menjadi sebahagian gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Tiga 'garis merah' itu ialah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam dan kedaulatan Raja Melayu.

Mohamad Hasan yang juga Ahli Parlimen Rembau turut memberi 'lampu hijau' kepada Pemuda UMNO serta Dr Muhamad Akmal untuk meneruskan keberanian selaras mandat diberikan kepada sayap parti berkenaan sebagai 'Pendesak, Pemantau, Penjaga Bangsa dan Loceng Kecemasan'.

Menurut Dr Muhammad Akmal, Pemuda akan terus menjalankan tugas sebagai loceng kecemasan demi pastikan parti tidak lalai dan cuai.

“Terima kasih Timbalan Presiden atas kepercayaan ini kerana hakikatnya, menjadi kerajaan hari ini tidak menjamin kemenangan esok. Jika krisis kepercayaan rakyat terus dibiarkan, jika suara akar umbi terus dipendam, maka jangan kita terkejut sekiranya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, rakyat memilih untuk tidak lagi memberi kepercayaan kepada UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Ambil iktibar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun. Mereka tumbang selepas terlalu lama berkuasa, bangkit sebagai pembangkang berdisiplin, dan kembali memerintah dengan mandat rakyat.

“Sebaliknya, kita juga harus belajar daripada sejarah Parti Revolusioner Institusional (PRI) di Mexico. Hampir tujuh dekad berkuasa, tetapi akhirnya mati kerana kehilangan jiwa perjuangan. Kisah-kisah ini mengajar kita satu perkara yang jelas iaitu parti boleh jatuh kerana kehilangan kuasa, tetapi parti hanya akan mati apabila ia kehilangan prinsip,” ujar beliau.

 

Ringkasan AI

  • Pemuda UMNO menegaskan peranan mereka sebagai 'loceng kecemasan' untuk menjaga tiga 'garis merah'
  • Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan sayap parti tersebut tidak akan gentar
  • Tiga 'garis merah' itu adalah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam, dan kedaulatan Raja Melayu
  • Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, memberi 'lampu hijau' kepada Pemuda UMNO untuk meneruskan perjuangan
  • Dr Muhamad Akmal mengingatkan risiko kehilangan sokongan rakyat jika UMNO gagal memenuhi harapan dan amanah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!