Mydin Mart teroka pasaran luar bandar

PEMBUKAAN cawangan terbaharu Mydin Mart di Olak Lempit disifatkan sebagai langkah strategik syarikat itu dalam meneroka pasaran luar bandar yang berdekatan dengan bandar utama.
Pengarah Urusan Mydin Mart (Tri Shaas Sdn Bhd), Shaakir Siraj berkata, lokasi itu dipilih kerana mempunyai komuniti dengan tabiat perbelanjaan setaraf bandar, selain faktor logistik lebih praktikal.
"Olak Lempit walaupun dalam kawasan kampung, tetapi dekat dengan bandar kerana kita mahu cari kawasan luar bandar yang masih ada kuasa beli seperti di bandar.
"Oleh sebab itu, kita juga perlu melihat soal logistik supaya harga produk kekal berpatutan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Mydin Mart Olak Lempit, di sini Jumaat.
Shaakir berkata, buat masa ini, pihaknya belum tetapkan bilangan cawangan baharu untuk tahun depan kerana ia bergantung pada tapak dan lokasi sesuai.
"Strategi kita adalah berkembang secara berperingkat dari pusat operasi sedia ada," tambah beliau.
Menurutnya, Selangor khususnya kawasan sekitar Lembah Klang akan terus menjadi fokus utama perkembangan Mydin Mart sebelum melebarkan sayap ke lokasi lain.
"Pembukaan cawangan ini adalah sebahagian daripada komitmen Mydin untuk menawarkan harga rendah dan berpatutan kepada pelanggan terutama di kawasan luar bandar," jelas beliau.
Sempena pembukaan di Olak Lempit, Shaakir menjelaskan, pelanggan ditawarkan promosi istimewa selama tiga hari antaranya ayam segar pada harga serendah RM1.99 sekilogram, anggur hijau Shine Muscat RM3.99 sepaket dan susu pasteurised Dutch Lady RM6.99.

Selain itu, katanya, terdapat juga promosi 10 hari termasuk sayuran segar serendah 59 sen seikat, lampin bayi RM26.99 dan pelbagai produk keperluan lain dengan harga rendah.
Shaakir berkata, pelanggan turut berpeluang menikmati promosi melalui National Flyer Mydin yang membabitkan semua cawangan di seluruh negara dengan keistimewaan tambahan untuk ahli Mydin Meriah Member.
"Contohnya, produk minuman Vico dijual pada harga RM14.99 di Olak Lempit walaupun bukan ahli untuk tiga hari pertama dan selepas itu, harga sama boleh dinikmati jika menjadi ahli,” katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pembukaan Mydin Mart Olak Lempit bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna melalui tawaran harga berpatutan, malah diyakini mampu merancakkan ekonomi setempat.
Jelas beliau, inisiatif itu membuktikan kerjasama sektor swasta bersama kerajaan penting dalam membantu rakyat.
"Ini salah satu program CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang wajar dijadikan contoh kerana tanggungjawab membantu rakyat bukan hanya terletak pada kerajaan, malah turut dipikul pihak korporat.
“Saya harap ia boleh menjadi motivasi kepada syarikat lain untuk turut sama berkongsi rezeki dengan rakyat," jelasnya.
Ringkasan AI
- PEMBUKAAN cawangan terbaharu Mydin Mart di Olak Lempit sebagai langkah strategik dalam meneroka pasaran luar bandar
- Lokasi dipilih kerana komuniti memiliki tabiat perbelanjaan setaraf bandar dan faktor logistik yang praktikal
- Selangor dan khususnya kawasan sekitar Lembah Klang menjadi fokus utama perkembangan Mydin Mart sebelum melebarkan sayap ke lokasi lain
- Pembukaan Mydin Mart di Olak Lempit menawarkan harga rendah dan berpatutan kepada pelanggan, disertai dengan promosi istimewa
- Inisiatif pembukaan Mydin Mart di Olak Lempit juga sebagai program CSR yang membantu rakyat dan merancakkan ekonomi setempat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

