Tiga lelaki melepak, berbual kosong ditahan polis

Ketiga-tiga lelaki terbabit dibenarkan direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Ketiga-tiga lelaki terbabit dibenarkan direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Marang hari ini.
A
A
A

MARANG - Tiga lelaki ditahan selepas didapati dengan sengaja berkumpul di kawasan parkir di Pasar Binjai Rendah, di sini untuk berbual kosong, sekali gus melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) petang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun itu ditahan dalam pemantauan Ops Covid-19 di sekitar kawasan Bukit Payung, di sini, jam 6 petang.

Beliau berkata, semasa rondaan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di lokasi, anggota terserempak dua buah kereta dan sebuah van dalam keadaan mencurigakan dan menghampiri lokasi sebelum ternampak kelibat lima lelaki sedang asyik bersembang di luar kenderaan terbabit.

"Sejurus menyedari kehadiran anggota, semua mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya dihalang, namun dua daripadanya meloloskan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira dan nekad cuba melanggar anggota," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini hari ini, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan ketiga-tiga lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: