Peranti, cecair vape lebih RM170,000 ditemukan di paya bakau
kesemua barangan tersebut ditemui di kawasan paya bakau berhampiran terusan anak sungai Kampung Ewa, Ayer Hangat di Langkawi.

LANGKAWI – Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi berjaya merampas pelbagai peranti dan cecair rokok elektronik (vape) bernilai RM178,400 yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran pada Rabu.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata, kesemua barangan tersebut ditemui di kawasan paya bakau berhampiran terusan anak sungai Kampung Ewa, Ayer Hangat di sini.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Marin (URM) Langkawi dengan kerjasama Balai Polis Ayer Hangat mengesan beberapa kotak mencurigakan disusun di kawasan paya bakau itu sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut pada jam 1 pagi.
"Pemeriksaan mendapati kotak-kotak berkenaan mengandungi pelbagai jenis peranti dan cecair vape daripada beberapa jenama dan perisa.
"Bagaimanapun, tiada individu ditemui di lokasi kejadian dan tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya dalam satu kenyataan.
Fakharuddin Amri berkata, kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Langkawi sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan memiliki atau menyimpan barang larangan yang disyaki diseludup.
"Pasukan Polis Marin Diraja Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pasukan Polis Marin Langkawi merampas peranti dan cecair vape bernilai RM178,400 yang cuba diseludup keluar
- Barangan ditemui di kawasan paya bakau Kampung Ewa, Ayer Hangat
- Operasi dilakukan selepas mendapati kotak mencurigakan di paya bakau
- Tiada tangkapan dibuat setakat ini
- Barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

