Mitos pengadil, VAR sebelahi pasukan gergasi

NADA tidak puas hati, tuduhan di media sosial dan polemik pengadil berat sebelah sudah menjadi asam garam bola sepak Malaysia.
Apabila teknologi video bantuan pengadil (VAR) diperkenalkan secara rasmi pada musim Liga Super Malaysia 2024/25, harapan menggunung diletakkan agar segala kontroversi terpadam.
Namun, realitinya berbeza apabila naratif bahawa pengadil dan VAR sering memihak kepada pasukan besar atau wujudnya 'double standard' masih menjadi masalah utama dalam kalangan penyokong.
Adakah VAR benar-benar menjadi alat manipulasi keputusan atau ia sekadar mainan emosi penyokong yang sukar menerima kekalahan?
Isu utama yang sering dibangkitkan adalah kekerapan keputusan memihak kepada pasukan-pasukan elit liga dan persepsi ini timbul apabila keputusan penalti atau kad merah sering dilihat memberikan kelebihan kepada pasukan yang mendominasi liga.
Namun, realitinya kekerapan keputusan memihak kepada pasukan besar adalah logik berdasarkan data dan bukan konspirasi yang sering dikaitkan oleh peminat.
Ia kerana pasukan besar lebih kerap menyerang, lebih banyak berada di dalam kotak penalti lawan dan secara tidak langsung meningkatkan kebarangkalian insiden (penalti atau terjahan kasar) berlaku di kawasan yang menguntungkan mereka.
Berdasarkan data rasmi prestasi pengadil dan VAR sepanjang musim 2024/25, angka-angka ini mendedahkan satu kebenaran iaitu pengadilan di Malaysia semakin tepat dan mitos berat sebelah itu tidak disokong oleh fakta.
VAR bantu tingkatkan kualiti pengadilan
Data menunjukkan VAR bertindak berdasarkan daripada 1,255 semakan VAR yang dijalankan sepanjang 208 perlawanan.
Statistik musim pertama penggunaan VAR di Malaysia menceritakan kejayaan teknikal yang memberangsangkan apabila ketepatan keputusan pengadil mencatatkan lonjakan drastik.
Pada musim 2023/24 (era tanpa VAR), ketepatan keputusan pengadil berada pada paras 88.76 peratus. Namun, sebaik sahaja VAR dilaksanakan pada musim 2024/25, ketepatan ini meningkat kepada 98.07 peratus.
Peningkatan hampir 10 peratus ini membuktikan bahawa teknologi ini berjaya menyelamatkan pengadil daripada melakukan kesilapan kritikal yang boleh mengubah keputusan perlawanan.
Malah, momokan bahawa VAR membunuh kelancaran permainan juga ditepis kerana purata masa tambahan yang diambil untuk On-Field Review (OFR) hanyalah sekitar 1.96 hingga 2.27 minit. Ini jauh lebih pantas berbanding drama pertikaman lidah antara pemain dan pengadil pada zaman sebelum VAR yang sering memakan masa lebih lama.
Salah satu hujah paling kuat untuk menolak dakwaan pengadil bias adalah penurunan mendadak jumlah aduan rasmi.
Daripada 208 perlawanan yang berlangsung, hanya lima aduan rasmi diterima berkaitan mutu pengadilan (empat di Liga Super, satu di Piala Malaysia). Ini menjadikan kadar aduan turun kepada 2.24 peratus berbanding 4.15 peratus pada musim sebelumnya.

Lebih mengejutkan, daripada aduan tersebut hanya dua kes disahkan sebagai kesilapan nyata pengadil selepas semakan dibuat. Fakta ini sekali gus menafikan persepsi liar di media sosial bahawa pengadil melakukan kesilapan dalam setiap perlawanan melibatkan pasukan besar.
Walaupun wujud beberapa insiden kontroversi yang tular, tindakan tegas telah diambil terhadap pegawai perlawanan yang terbukti khilaf membuktikan tiada siapa yang kebal daripada undang-undang, termasuk pengadil sendiri.
Pandangan bekas pengadil FIFA
Ia turut disokong oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang meminta penyokong tidak terlalu mengikut emosi dan melihat kepada fakta dan data yang tersedia.
Mengambil contoh insiden terbaharu membabitkan perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC baru-baru ini, Subkhiddin yang juga bekas pengadil FIFA tidak melihat kesalahan dilakukan pengadil, S Logeswaran ketika tambahan masa yang didakwa terlalu panjang dalam perlawanan itu.
"Mungkin ada yang tak suka JDT, tetapi dari sudut keadilan di atas padang apabila membabitkan keputusan pengadil kita kena terima. Jangan menghentam mengikut emosi.
"Apabila pengadil memberikan masa tambahan tujuh minit, papan masa hanya akan ditunjukkan sekali sahaja sebaik tamat 90 minit permainan. Pengadil tidak akan menaikkan papan tanda tambahan masa kali kedua walaupun masa dihentikan dalam tempoh tujuh minit itu.
"Apa yang berlaku ialah pengadil akan menghentikan jam tangan mereka setiap kali terdapat kecederaan atau sebagainya. Dalam kes ini, terdapat kecederaan melibatkan penjaga gol dan pemain yang memakan masa kira-kira 1 minit 27 saat.
"Secara teknikalnya, tempoh tujuh minit itu perlu ditambah dengan masa kecederaan tersebut, menjadikan masa permainan sebenar berlanjutan sehingga minit ke-8 dan 27 saat masa tambahan," jelasnya.
Menurut beliau, gol kemenangan tersebut dijaringkan pada minit ke-97 saat ke-54 yang bermaksud jaringan itu dilakukan dalam tempoh masa permainan yang sah dan tidak melebihi masa kecederaan yang telah diambil kira.
"Tempoh perlawanan menjadi lebih panjang selepas gol dijaringkan kerana terdapat keraian gol (celebration) yang mengambil masa lebih dua minit. Pengadil hanya menjalankan tugas dengan tepat mengikut undang-undang dengan menggantikan masa yang terbuang.
"Sebenarnya tiada isu, namun perkara ini sengaja ditularkan untuk menyalahkan mutu pengadilan semata-mata," katanya.

Sementara itu, satu lagi isu dalam perlawanan tersebut membabitkan insiden antara pertahanan JDT, Eddy Israfilov yang dilihat menyiku penyerang import NSFC, Joseph Esso pada babak pertama.
Subkhiddin menjelaskan bahawa desakan untuk mengenakan hukuman berat atas dakwaan penafian peluang menjaringkan gol yang jelas atau Denial of an Obvious Goal-Scoring Opportunity (DOGSO) adalah tidak tepat dari segi undang-undang permainan.
Menurutnya, penelitian semula insiden tersebut mendapati ia tidak memenuhi kriteria mandatori untuk diklasifikasikan sebagai DOGSO.
"Arah bola jelas menuju ke luar (outwards) dan bukan terus ke pintu gol. Selain itu, terdapat seorang lagi pemain pertahanan yang berlari pada kelajuan sama dan bersedia untuk mencabar bola tersebut. Justeru, elemen DOGSO tidak wujud di situ," katanya.
Menyentuh dakwaan kononnya pemain pertahanan bertindak kasar dengan memukul pihak lawan, beliau turut menepis pandangan tersebut dan menyifatkan pergerakan tangan pemain adalah sesuatu yang natural.
Tegasnya, tiada ayunan tangan yang bertujuan untuk memukul, sebaliknya pemain pertahanan hanya mendepangkan tangan untuk mengimbangi badan ketika melakukan larian.
"Kita perlu faham pergerakan biomekanik pemain. Tidak mungkin pemain perlu berlari dengan tangan di belakang atau di dalam poket. Ini adalah sebahagian daripada bola sepak," katanya.
Beliau sebaliknya menyifatkan tindakan penyerang lawan sebagai satu bentuk provokasi bijak dan taktikal apabila menyedari sukar untuk menjaringkan gol dalam situasi satu lawan satu.
"Jika diteliti, penyerang menolak bola ke arah kiri, namun menggerakkan badannya ke arah kanan semata-mata untuk mewujudkan sentuhan dengan pemain pertahanan.
"Ia adalah taktik untuk mendapatkan kad merah pada saat-saat akhir. Namun, pengadil membuat keputusan tepat dengan tidak menghukum pemain pertahanan yang sebenarnya tidak melakukan sebarang kesalahan," ujarnya.
Mengulas mengenai VAR yang tidak terlalu kerap digunakan dalam perlawanan itu, Subkhiddin berkata, terdapat syarat-syarat tertentu sebelum sebarang keputusan untuk menggunakan VAR oleh pengadil.
"Penggunaan VAR dalam kancah bola sepak tempatan tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya melainkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.
"Malaysia tidak boleh mencipta sistem atau peraturan sendiri yang bercanggah dengan piawaian dunia demi menjaga konsistensi dan integriti permainan.
"Kita perlu menghormati protokol penggunaan VAR supaya tidak menjejaskan rentak perlawanan atau menimbulkan salah faham. Ia dikawal selia oleh badan antarabangsa, jadi kita tidak boleh menggunakannya mengikut 'selera' sendiri.
"Umpama peraturan jalan raya, kita tidak boleh membelok tanpa memberi isyarat atau berhenti di lorong kecemasan tanpa sebab yang kukuh. Begitu juga dengan VAR, ia hanya digunakan apabila wujud keperluan mendesak mengikut syarat yang ditetapkan," katanya.
Justeru, untuk melabelkan keputusan pengadil dan VAR sebagai berat sebelah atau menguntungkan pasukan besar adalah tuduhan yang tidak disokong oleh data musim 2024/25.
Statistik membuktikan VAR telah menjadikan liga lebih adil, lebih tepat, dan lebih telus. Cabaran sebenar kini bukanlah pada teknologi atau pengadil, tetapi pada penerimaan penyokong untuk membezakan antara kesilapan manusia yang minimum dengan konspirasi yang direka oleh emosi semata-mata.
Ringkasan AI
- NADA tidak puas hati dan tuduhan berat sebelah menjadi lumrah dalam bola sepak Malaysia
- Pengenalan VAR di Liga Super Malaysia 2024/25 meningkatkan harapan kontroversi berkurangan
- Data menunjukkan ketepatan keputusan pengadil meningkat dengan adanya VAR
- Terdapat penurunan mendadak jumlah aduan rasmi terhadap keputusan pengadil Statistik membuktikan penggunaan VAR menjadikan liga lebih adil, tepat dan telus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
