SG4 menawarkan kehidupan wajar

APABILA kita membicarakan kehidupan yang wajar, kehidupan yang selesa, atau apa yang dinamakan sebagai kehidupan yang bermaruah, kita tidak dapat lari daripada melihatnya dari konteks pendapatan, mahupun perbelanjaan, kerana kedua-duanya memainkan peranan penting di dalam penentuan kos sara hidup, yang secara langsung mempengaruhi kualiti kehidupan.
Jika pendapatan purata atau pendapatan minima sering dijadikan kayu ukur kepada ‘hasil’ sesebuah keluarga, Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) pula merujuk kepada jumlah wang yang diperlukan oleh seseorang individu atau isi rumah untuk menjalani kehidupan yang bermaruah dan selesa, bukan sekadar cukup untuk "hidup" atau "survival" sahaja.
Apakah yang dimaksudkan dengan kehidupan wajar? Kehidupan wajar bermaksud pendapatan anda mampu menampung lebih daripada sekadar makanan dan tempat tinggal.
Ia merangkumi tiga elemen utama iaitu keperluan asas (makanan, pakaian, dan tempat perlindungan). Ia juga mengenai penglibatan sosial iaitu mampu menyertai aktiviti kemasyarakatan, menziarahi keluarga, atau menghadiri majlis keramaian serta jaminan kewangan yakni mempunyai sedikit lebihan untuk simpanan kecemasan dan perlindungan sosial (insurans/takaful).
Kita harus berbincang dengan lebih rasional dengan perspektif yang lebih mendalam, membandingkan "Angka Gaji" melawan "Kuasa Beli Sebenar" atau dalam erti kata lain apa yang ingin dikejar, gaji besar atau kualiti kehidupan?
Melihat kepada angka-angka dari pangkalan data rasmi, faktanya ialah negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menawarkan "kehidupan yang lebih wajar" berbanding Selangor, Pulau Pinang, dan Johor yang kononnya adalah antara negeri-negeri termaju di Malaysia di mana pendapatan di negeri-negeri ini kelihatan besar di atas kertas, namun hakikatnya nilai wang tersebut sering kali "dimakan" oleh kos asas yang amat tinggi.
Sebaliknya, gaji yang sederhana di negeri-negeri SG4 mampu memberikan gaya hidup yang lebih selesa dan bermaruah.
Perbezaan paling ketara adalah pada kos tempat tinggal, yang merupakan komponen terbesar dalam Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Secara perbandingan, di neger-negeri maju (Selangor/KL/Penang/Johor), gaji atau upah diperoleh sebanyak RM5,000, kelihatan agak menarik, namun ia mungkin memerlukan anda membelanjakan sekitar RM1,500 - RM2,000 hanya untuk menyewa rumah "shoebox" (pangsapuri kecil) dan rumah tersebut juga berkemungkinan jauh dari tempat kerja.
Bandingkan ia dengan negeri-negeri SG4, di mana dengan gaji sekitar RM3,000 sebulan, anda mungkin hanya perlu membelanjakan RM500 - RM800 untuk menyewa rumah teres yang luas dan selesa.
Antara impak yang ketara, penduduk di negeri SG4 dapat memiliki aset hartanah di usia muda berbanding rakan sebaya mereka di negeri-negeri maju yang mungkin terpaksa menyewa seumur hidup.
Dengan mengambil kira faktor Ketenangan Minda dan Masa (Work-Life Balance), kehidupan wajar bukan hanya mengenai wang, tetapi juga kesihatan mental dan masa.
Di Lembah Klang atau Pulau Pinang, purata masa perjalanan ke tempat kerja boleh mencecah 2-3 jam sehari dalam kesesakan lalu lintas.
Ini adalah "kos tersembunyi" yang mengurangkan masa berkualiti bersama keluarga berbanding dengan negeri-negeri SG4, perjalanan ke tempat kerja berkemungkinan hanya 15 minit atau mungkin lebih kurang daripada tempoh tersebut.
Penjimatan masa tersebut boleh digunakan untuk bersukan, beriadah, berehat, atau aktiviti keagamaan dan sosial, menjadikan kualiti hidup secara holistik yang lebih baik.
Walaupun inflasi berlaku di seluruh negara, jurang harga makanan masih ketara, di negeri-negeri maju, kos makan tengah hari secara purata boleh mencecah RM15-RM20 sehari berbanding di negeri-negeri SG4 juadah yang sama atau lebih sedap masih boleh diperoleh pada harga sekitar RM6-RM10.
Ini memberi kesan besar kepada bajet bulanan, terutamanya bagi mereka yang berkeluarga besar.
Secara keseluruhannya, perdebatan mengenai kualiti hidup di Malaysia tidak lagi tertumpu kepada tingkat pendapatan semata-mata, malah faktor jumlah perbelanjaan sudah mula menjadi faktor penting daripada kalangan rakyat Malaysia.
Gaji yang tinggi di negeri maju seperti Selangor dan Johor tidak menjamin kesejahteraan mutlak jika kos sara hidupnya melambung tinggi sehingga membebankan mental dan kewangan.
Berikut adalah rumusan mengapa perbelanjaan yang lebih rendah di negeri-negeri SG4 seperti Kelantan, Kedah, Perlis, dan Terengganu lebih menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik.
Pendapatan sederhana di negeri SG4 sering kali menyebabkan kuasa membeli yang lebih besar berbanding pendapatan tinggi di negeri maju.
Ini membolehkan individu menikmati kualiti makanan, tempat tinggal, dan barangan keperluan yang lebih baik tanpa tekanan hutang yang melampau.
Kos sara hidup yang rendah biasanya selari dengan gaya hidup yang kurang terbeban. Tanpa perlu menghabiskan masa berjam-jam dalam kesesakan lalu lintas atau bekerja lebih masa semata-mata untuk menampung sewa rumah yang mahal, rakyat di negeri-negeri ini menikmati keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance) yang lebih sihat.
Lebihan wang (pendapatan boleh guna) yang lebih tinggi membolehkan simpanan kecemasan dan pelaburan dapat diterjemahkan dengan lebih pantas.
Kehidupan yang "baik" adalah kehidupan yang mempunyai jaminan kewangan untuk hari tua, dan ini lebih mudah dicapai apabila perbelanjaan wajib bulanan adalah minima.
Meskipun negeri maju menawarkan peluang kerjaya yang luas, kualiti hidup yang "wajar" dan bermaruah lebih mudah dikecapi di negeri-negeri SG4 dengan kos sara hidup yang lebih rendah.
Kehidupan yang baik bukanlah tentang mengejar angka pada slip gaji, tetapi lebih penting memiliki kebebasan kewangan, masa bersama keluarga, dan ketenangan minda yang sering kali lebih mudah didapati di luar hiruk-pikuk kota besar.
*Profesor Dr Baharom Abdul Hamid ialah Felo Ekonomi dan Perniagaan The Future Research dan pensyarah di INCEIF
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
