Bomba ketuai operasi sanitasi awam di zon merah, oren

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di Pasar Raya Besar Mydin Meru hari ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di Pasar Raya Besar Mydin Meru hari ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Operasi sanitasi awam seluruh negara akan dilaksanakan melalui dua fasa membabitkan kawasan yang mencatatkan kes Covid-19 tinggi dan sederhana.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaku ketua operasi dipertanggungjawabkan untuk perkara tersebut.

Menurutnya, kerja sanitasi awam itu akan dibantu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri dan daerah terlibat akan bersama SWCorp melalui syarikat konsesinya. Ia termasuk di negeri yang tidak menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Kerja sanitasi awam bagi fasa pertama di kawasan kes tinggi (zon merah) dilaksanakan serentak manakala kawasan kes sederhana (zon oren) dilakukan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi, Zuraida meninjau operasi sanitasi awam yang dilaksanakan KPKT di Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang dan Pasar Awam Jalan Othman, Petaling Jaya.

Zuraida berkata, mulai esok, kerja sanitasi awam akan membabitkan enam daerah zon merah iaitu Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat, Seremban, Johor Baharu dan Kluang.

Menurutnya, kerja sanitasi itu melibatkan perabot jalan, kemudahan dan pasar awam, laluan siar kaki, hab pengangkutan awam.

Artikel Berkaitan:

“Operasi turut dilaksanakan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di dalam daerah zon merah.

“Bagi premis persendirian, kerja sanitasi perlu dilaksanakan oleh pemilik dengan tanggungan sendiri,” katanya.