Tiga wanita antara 14 individu mengaku ingkar PKP di Kemaman

Enam daripada 14 individu yang didakwa ingkar PKP di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini.
Enam daripada 14 individu yang didakwa ingkar PKP di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini.
A
A
A

KEMAMAN - Tiga wanita antara 14 individu yang dikenakan denda maksimum RM1,000 atau 20 hari penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka didakwa berhimpun di dalam kawasan tempat jangkitan bagi maksud sosial di hadapan MZR Homestay, Kampung Geliga, di sini, jam 7 petang pada 28 Mac lalu.

Sementara itu, dua lelaki, didakwa kerana didapati bergerak dari satu tempat yang lain iaitu dari Kampung Paya Berenjut ke tepi jalan Kuala Kemaman, Chukai, di sini, jam 12.45 tengah malam, pada 29 Mac lalu.

Lima lagi individu, pula didakwa berhimpun bagi maksud rekreasi iaitu memancing udang di tepi sungai ladang sawit Jalan Pasir Minal, Kampung Pasir Minal, Binjai, di sini, jam 11.50 malam pada 27 Mac lalu.

Seorang lagi individu, pula didakwa bergerak dari satu tempat iaitu Rumah Murah Kijal ke suatu tempat lain iaitu Kampung Titian Berayun, di sini, jam 10.15 malam, pada 28 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan Peraturan 3(1) dan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad di hadapan Hakim Azman Mustafa manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ahmad Hafizuddin dalam pendakwaannya meminta hukuman berat dikenakan selain meminta orang ramai memandang serius arahan PKP yang bertujuan mengekang wabak koronovirus (Covid-19).