Mengenang 50 tahun pemergian Tun Abdul Razak

Tanah rancangan Felda yang dibangunkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein lebih 50 tahun lalu merupakan antara sumbangan terbesar Perdana Menteri kedua itu kepada masyarakat. Gambar kecil: Syirfan Indra
Tanah rancangan Felda yang dibangunkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein lebih 50 tahun lalu merupakan antara sumbangan terbesar Perdana Menteri kedua itu kepada masyarakat. Gambar kecil: Syirfan Indra
A
A
A

EMPAT belas Januari 1976. Malaysia kehilangan seorang Perdana Menteri, namun hakikatnya, negara kehilangan arkitek masa depan. Tun Abdul Razak Hussein pergi dalam usia lima puluh tiga tahun - sangat muda bagi seorang negarawan.

Kontrasnya, walau selepas 50 tahun pemergiannya, asas mula yang diperjuangkan dulu masih menjadi asas fikir generasi hari ini.

Taring seorang pemimpin biasa diukur melalui pidato atau slogan. Namun bukan negarawan ini. Beliau diingati kerana memulakan sesuatu yang jauh lebih terampil.

Setengah abad telah berlalu, namun denyut fikir itu masih terasa dalam denyut pembangunan negara.

Generasi hari ini mengenali namanya melalui papan tanda, sekolah berasrama penuh, dewan atau potret hitam putih dalam poster.

Nama itu disebut dengan hormat yang tinggi hingga lupa apa sebenarnya sumbangan beliau kerana sumbangan itu berakar dalam setiap rumah di luar bandar dan semua organisasi yang menjunjung matlamat membasmi kemiskinan.

Untuk memahami Tun Abdul Razak, kita perlu melihat lebih jauh daripada simbol dan nama dalam buku teks.

Kita perlu memahami bagaimana sebuah negara muda lagi rapuh dibentuk menjadi negara yang mampu berdiri sendiri bukan hanya secara politik, tetapi dengan ekosistem ekonomi dan sosial yang saling menyokong.

Selepas kemerdekaan, Malaysia masih terikat oleh struktur kemiskinan, ketidakseimbangan dan jurang desa-bandar yang membesar.

Artikel Berkaitan:

Kebebasan politik tanpa keupayaan ekonomi dan pemantapan komuniti hanya melahirkan kebebasan yang rapuh dan sementara. Tun Razak memahami hakikat ini dengan jelas dan terang.

Beliau memilih jalan yang sukar iaitu membina sistem yang mendasar pada kehidupan rakyat biasa yang rata-rata di luar bandar.

Pada awal 1960-an, Tun Abdul Razak memacu gerakan pembangunan luar bandar yang holistik. Jalan desa dibina merentas hutan belukar dan paya.

Sekolah kecil didirikan di kampung terpencil. Klinik, bekalan air bersih dan elektrik asas diperluas. Semua ini mungkin kelihatan biasa hari ini, tetapi pada waktu itu ia adalah transformasi sosial yang luar biasa dan radikal.

Pembangunan bagi negarawan ini, bukan sekadar pertumbuhan angka dalam laporan ekonomi. Ia adalah memindahkan rakyat dan keluarganya daripada takdir kemiskinan kepada kemungkinan masa depan yang lebih jelas. Ia adalah kerja memulihkan maruah rakyat dengan kata mula - hijrah.

Daripada falsafah inilah lahirnya FELDA. Ia bukan sekadar projek pembukaan tanah, tetapi kejuruteraan sosial berskala nasional. Puluhan ribu keluarga miskin dipindahkan ke tanah yang lebih baik dan produktif.

Mereka bukan sahaja diberi tanah, tetapi dibentuk menjadi komuniti baharu dengan rumah, sekolah, masjid, balai raya dan struktur sosial yang terancang. Anak-anak peneroka dihantar ke sekolah. Generasi itu dibimbing ke universiti.

Ekonomi luar bandar disusun semula daripada buruh tidak bertanah kepada pemilikan aset. Ia sukar namun itu sahaja pilihan yang ada pada waktu itu.

Hari ini, FELDA dijulang sebagai ekosistem besar. Kita sebenarnya sedang menyaksikan visi Tun Razak yang masih dan terus hidup. Kelas menengah luar bandar yang lahir daripada rancangan ini menjadi bukti bahawa pembangunan boleh bersifat adil, tersusun dan berjangka panjang. Ia bukan projek segera, tetapi misi lintas generasi.

Ujian terbesar Tun Abdul Razak hadir selepas tragedi 13 Mei. Negara hampir kehilangan arah tuju. Ketegangan kaum meningkat dan terus membakar. Keyakinan rakyat merosot.

Hanya yang meningkat adalah ketegangan, salah sangka dan bara perkauman. Di saat itu ramai memilih naratif dan retorik emosi dan pendekatan populis.

Tun Abdul Razak memilih perancangan yang lebih rasional. Beliau memahami bahawa perpaduan tidak boleh dibina dengan seruan moral dan ucapan semata-mata. Ia mesti dibina melalui struktur ekonomi yang adil.

Maka lahirlah Dasar Ekonomi Baru yang bukan sebagai slogan perpaduan, tetapi sebagai kerangka keadilan ekonomi.

Matlamatnya jelas - membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula struktur ekonomi agar tidak terikat kepada identiti etnik. DEB menjadi tulang belakang kestabilan Malaysia selama puluhan tahun.

Ia bukan dasar yang mudah dan magis. Ia menuntut keberanian politik yang luar biasa. Dasar ini menyediakan asas yang membolehkan Malaysia bergerak ke hadapan tanpa terjerumus ke dalam konflik perkauman yang berkepanjangan. DEB tidak akan dilihat sebagai dasar yang popular tetapi dasar yang sanggup mengambil risiko demi masa depan negara.

Dalam pentadbiran pula, arkitek bijak ini memperkenalkan budaya perancangan jangka panjang yang belum pernah wujud dan difikirkan sebelum itu. Institusi perancang negara diperkukuh dan diperkemas.

Penyelarasan antara kementerian diperketat. Keputusan dibentuk berasaskan data, analisis dan disiplin pelaksanaan. Pentadbiran tidak lagi bergantung kepada reaksi semasa, tetapi kepada visi jangka panjang.

Untuk pendekatan dasar luar, Tun Razak mengejutkan dunia apabila membuka pintu untuk hubungan diplomatik dengan China pada 1974. Ia sebuah langkah berani, strategik dan pragmatik.

Ia meletakkan Malaysia sebagai negara kecil yang mampu berdiri dalam geopolitik besar tanpa terikat kepada blok kuasa tertentu. Keputusan ini membuka pintu perdagangan, keselamatan serantau dan posisi strategik yang masih memberi kesan hingga hari ini.

Ia mencerminkan satu lagi sifat negarawan negara ini sebagai tokoh yang mempunyai keberanian membuat keputusan jauh ke hadapan daripada zamannya.

Menariknya, Tun Razak bukan pemidato hebat dan bukan pencipta slogan besar. Gaya beliau sunyi, teliti dan teknokratik. Beliau jarang mengangkat suara, tetapi kuat dalam merangka sistem.

Beliau jarang mencipta frasa indah, tetapi berjaya mencipta struktur yang bertahan. Di sebalik sifat pendiam itu, beliau meninggalkan falsafah kepimpinan yang jarang difahami hari ini. Pemimpin sejati bukan yang meninggalkan suara, tetapi yang meninggalkan sistem yang hidup dan dinamik.

Selepas 50 tahun pemergian Tun Abdul Razak, Malaysia masih bergerak dan berdiri dalam kerangka yang beliau dirikan. Jalan desa yang dahulu sunyi dan terlalu asas kini menjadi nadi ekonomi wilayah.

Komuniti peneroka FELDA yang dahulu miskin kini melahirkan pemikir, teknokrat, sarjana dan pemimpin. Institusi yang dahulu rapuh kini menjadi tulang belakang negara moden. Semua ini bukan kebetulan sejarah. Ia hasil kerja sunyi seorang perancang bangsa yang lebih percaya kepada sistem daripada slogan, lebih percaya kepada struktur daripada retorik.

Tun Abdul Razak telah lama tiada. Sudah lima puluh tahun sejak 14 Januari 1976. Negara masih berjalan di atas sistem asas yang beliau bina.

Mungkin itulah ukuran tertinggi seorang negarawan - apabila namanya semakin jauh dalam masa, tetapi hasil kerjanya semakin dekat dalam kehidupan rakyat.

Al-Fatihah.

*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!