LBS tekankan visi perniagaan masa depan di Persidangan ‘Now and Future 2025’

SHAH ALAM - Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS) meraih pengiktirafan apabila Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San telah diundang untuk menyampaikan ucaptama di Persidangan dan Pameran ‘Now and Future’ 2025.
Beliau menyampaikan ucaptama bertajuk “Building the Business of Tomorrow” pada persidangan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46. Acara itu menghimpunkan pemimpin politik, penggubal dasar dan tokoh perniagaan dari seluruh Asia Tenggara.
Hock San dalam ucapannya menyeru dunia perniagaan agar mengutamakan keterangkuman, kelestarian dan inovasi dalam membina masa depan ekonomi serantau.
“Apabila kita membina perniagaan masa depan, fokus haruslah melangkaui keuntungan. Kita harus mengangkat keterangkuman, kelestarian, dan inovasi, di samping memperkukuh kerjasama serantau.
“ASEAN kini muncul sebagai blok ekonomi paling pesat berkembang dengan gabungan KDNK melebihi USD4 trilion pada 2024. Justeru, Malaysia perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan yang memperkukuh diplomasi, hubungan rakyat, dan pemahaman budaya demi pertumbuhan jangka Panjang,”katanya.

Beliau turut menggariskan komitmen LBS terhadap pembangunan mampan menerusi Strategi 8 x 8 yang antaranya merangkumi penerbitan SRI Sukuk Wakalah Sosial ASEAN bernilai RM200 juta bagi membiayai perumahan mampu milik, pelaburan ladang solar bernilai RM104 juta, serta pembangunan bandar lestari di seluruh negara.
“Pembangunan hartanah bukan sekadar membina rumah, tetapi mewujudkan komuniti lestari, merangsang industri, menjana pekerjaan, dan membolehkan mobiliti sosial. Sumbangan ini tulang belakang kepada ekonomi berdaya tahan ASEAN,” katanya.
Persidangan itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet yang lain. Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat reruai LBS pada hari kedua pameran.
‘Now and Future 2025’ berlangsung dari 17 hingga 20 September dengan tema “A Better Future”, menjadi wadah dialog dan kerjasama serantau untuk membentuk masa depan yang lebih mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
