Kes tular isi RON95: Pemandu kenderaan Singapura didakwa esok

Laporan Sinar Harian berhubung isu pemilik kenderaan asing tutup nombor pendaftaran isi RON95
Laporan Sinar Harian berhubung isu pemilik kenderaan asing tutup nombor pendaftaran isi RON95
A
A
A

KULAI – Pemandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang tular selepas dikesan menutup dua huruf pada nombor pendaftaran kenderaannya untuk mengisi minyak RON95, akan didakwa di mahkamah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai esok dan akan dituduh,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sebelum itu, Seng Lee memaklumkan bahawa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima satu laporan berhubung video tular tersebut pada jam 5 petang, 4 Januari lalu.

“Video berdurasi satu minit 30 saat itu memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak dengan nombor pendaftaran dipaparkan sebagai LJ8967, sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai, terletak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru - Air Hitam.

“Siasatan lanjut terhadap pemilik kenderaan mendapati nombor pendaftaran telah diubah. Pemilik kenderaan berkenaan adalah pemegang status Penduduk Tetap (PR) Singapura,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, satu tindakan kes telah diambil terhadap pengusaha stesen minyak terbabit kerana melanggar Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pengusaha stesen minyak tersebut disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan, iaitu mengenai larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berdaftar asing.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pemandu kenderaan Singapura menutup huruf pada nombor pendaftaran untuk mengisi minyak RON95 akan didakwa
  • Pendakwaan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987
  • Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai
  • Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai menerima laporan video tular
  • Pengusaha stesen minyak didakwa melanggar Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!