Kes tender perolehan Tentera Darat: SPRM kesan wang tunai RM2.4 juta cuba dilarikan
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan terdapat cubaan memindahkan wang tunai berjumlah kira-kira RM2.4 juta dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes tender perolehan Tentera Darat.
Beliau berkata, wang tunai berkenaan dikesan hasil maklumat risikan terbaharu yang diterima SPRM.
Menurutnya, wang tersebut ditemui ketika seorang suspek awam dipercayai cuba melarikan wang berkenaan dari sebuah rumah ke kediaman lain.
"Saya dimaklumkan mengenai wang yang dirampas, lebih kurang RM2.4 juta dalam bentuk tunai.
"Ini adalah antara wang salah seorang subjek yang terbabit dalam kes ini yang cuba dilarikan dari satu rumah ke rumah lain," katanya menerusi satu laporan media tempatan pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
Menurut SPRM, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an ditahan antara jam 8.30 hingga 11.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
SPRM memaklumkan siasatan awal mendapati kesemua pengarah syarikat terbabit disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat Malaysia sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan melibatkan TDM.
Jelas kenyataan itu, penahanan tersebut dibuat hasil risikan berhubung kewujudan kartel yang dipercayai menguasai beberapa tender perolehan berkaitan Tentera Darat.
27 Disember lalu, media melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023.
Sumber itu memaklumkan fokus siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya SPRM mendedahkan cubaan memindahkan RM2.4 juta berkaitan kes tender Tentera Darat
- Wang tunai dikesan hasil maklumat risikan terbaharu yang diterima oleh SPRM
- Suspek cuba melarikan wang dari satu rumah ke rumah lain ditemui
- Seramai 17 pengarah syarikat direman bagi membantu siasatan kes rasuah kartel tender perolehan Tentera Darat
- Siasatan SPRM tertumpu kepada projek melalui kaedah perolehan tender terbuka dan di bawah PTJ Tentera Darat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

