Kerajaan Selangor nafi gesa NGO henti bantuan makanan

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk menghentikan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau menafikan kenyataan seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini.

Laporan itu menyebut, Kerajaan Selangor bersetuju meminta NGO untuk berhenti membekalkan makanan kepada mereka yang memerlukan ketika PKP.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah mengadakan perbincangan sama ada bersetuju atau tidak dengan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan memusatkan pemberian bantuan makanan asas.

“Kenyataan ini adalah tidak tepat. Kerajaan negeri tidak pernah berbincang mengenai bersetuju mahupun tidak bersetuju akan pengumuman Menteri Kanan (keselamatan) yang memusatkan pemberian bantuan makanan asas rakyat yang terjejas di pejabat kebajikan masyarakat dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Memahami keperluan kepada tindakan dan arahan kementerian keselamatan, kami juga sedar Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja tidak akan mampu untuk mengedarkan makanan kepada rakyat kerana kekurangan kakitangan dan tidak mungkin sampai ke semua pelusuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata, ketika pelaksanaan PKP, mereka yang memerlukan bantuan makanan melebihi yang tersenarai dengan JKM dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Justeru, pihaknya meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor untuk membenarkan 10 orang petugas di setiap Pusat Khidmat Masyarakat DUN dan Parlimen di negeri ini bagi menyampaikan bantuan dan agihan sumbangan daripada kerajaan negeri kepada mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Pada 23 Mac lalu, kerajaan negeri mengeluarkan garis panduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sukarelawan yang ingin menyampaikan bantuan.

“Prosedur yang ketat termasuk tiada perhimpunan dibenarkan, hanya menghantar ke lokasi penerima, menjarakkan posisi mereka,tidak menyentuh mana-mana permukaan di lokasi penghantaran dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri berpendapat supaya NGO dapat berbincang terus dengan kementerian bagi mendapatkan kebenaran, prosedur keselamatan dan kesihatan yang lebih terjamin,” katanya

Terdahulu, Ismail berkata, larangan agihan bantuan makanan secara terus oleh NGO kepada penerima sebagai langkah mengelakkan mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Ismail berkata, keputusan tersebut diambil selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).