Bekalan makanan mencukupi menjelang Aidilfitri - KPDN

Salahuddin menyerahkan Bakul Rahmah kepada salah seorang penerima melalui Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri di Stesen Petronas BKE 2, di sini yang dianjurkan Petronas Dagangan Berhad dengan kerjadama Yayasan Petronas dan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM).
Salahuddin menyerahkan Bakul Rahmah kepada salah seorang penerima melalui Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri di Stesen Petronas BKE 2, di sini yang dianjurkan Petronas Dagangan Berhad dengan kerjadama Yayasan Petronas dan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM).
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan seperti ayam, telur, sayur-sayuran termasuk minyak peket bersubsidi mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan memastikan segala keperluan dan bekalan itu berada di pasaran.

Bagaimanapun, beliau meminta masyarakat agar segera melaporkan kepada pihaknya sekiranya terdapat gangguan bekalan agar tindakan segera boleh diambil.

"Hasil data yang kita terima termasuk daripada pegawai yang melaksanakan tinjauan membuktikan bekalan ayam, telur dan sayur-sayuran sememangnya mencukupi sempena menjelang sambutan hari raya.

"Berhubung isu minyak peket, KPDN sangat peka dengan aduan khususnya melibatkan minyak peket bersubsidi tapi secara umum saya boleh beri jaminan di sini tidak ada krisis, bekalannya mencukupi setakat ini dengan 60,000 tan metrik dibekalkan setiap bulan," katanya ketika ditemui media di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Salahuddin hadir menyampaikan bantuan Bakul Rahmah melalui Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri di Stesen Petronas BKE 2, di sini yang dianjurkan Petronas Dagangan Berhad dengan kerjadama Yayasan Petronas dan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM).

Mengulas mengenai program bantuan Bakul Rahmah, Salahuddin berkata, KPDN dengan kerjasama beberapa rakan strategik berjaya mengedarkan hampir 34,000 Bakul Rahmah sejak ia dilancarkan.

"Ini telah mencapai hampir 95 peratus daripada jumlah yang menjadi sasaran KPDN kerana kita telah sasarkan 37,000 bakul dapat disampaikan kepada setiap isi rumah yang mana kita ambil 30 peratus atau hampir 130,000 daripada kategori miskin tegar.

"Bakul Rahmah ini kita khususkan untuk golongan miskin tegar sahaja. Saya harap jumlah keseluruhan 37,000 itu akan dapat kita sempurnakan dalam beberapa hari lagi," katanya.