Mohamed Khaled akan keluarkan kenyataan rasuah isu perolehan tentera - Fahmi

Fahmi Fadzil. Foto Bernama
Fahmi Fadzil. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Jemaah Menteri diberikan penjelasan berhubung isu perolehan projek Tentera Darat melibatkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada sesi Permukiman Kerajaan Madani 2026 pada Ahad.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung perkembangan lanjut isu tersebut pada Isnin.

"Berkait dengan isu perolehan sebentar tadu ada dimaklumkan bahawa Menteri Pertahanan akan membuat kenyataan esok, katanya ringkas dalam sidang akhbar di KWSP Learning Campus di sini pada Ahad.

Program itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Turut hadir dalam pemukiman itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Perpaduan, kecuali Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.

Sementara itu, Fahmi berkata, sesi permukiman itu berjaya mencerminkan kesepaduan dan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan ekonomi negara.

Jelas beliau, perkara lain yang dibincangkan mencakupi aspek penting termasuk dasar, pelaksanaan, komunikasi kerajaan dan prestasi dalam suasana produktif.

"Dengan kehadiran Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah adalah satu isyarat penting membuktikan kesepaduan kerajaan Perpaduan yang utuh dan akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab ke depan

Artikel Berkaitan:

"Keutamaan lain adalah untuk pastikan bukan hanya ekonomi negara terus berada di landasan yang betul tetapi untuk pastikan hasil daripada kestabilan yang diperoleh sepanjang 38 bulan kerajaan Madani mentadbir benar-benar membuahkan hasil," katanya.

Fahmi berkata, hasil perbincangan itu diterjemahkan kepada siri program yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, langkah itu memberikan keyakinan kepada seluruh Jemaah Menteri bahawa hala tuju kerajaan Madani bagi tempoh kurang dua tahun adalah jelas, fokus dan berorientasikan hasil untuk rakyat.

Ringkasan AI

  • Jemaah Menteri diberikan penjelasan berhubung isu perolehan projek Tentera Darat
  • Menteri Pertahanan akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan isu tersebut
  • Program dihadiri oleh pemimpin utama termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri
  • Sesi permukiman berjaya mencerminkan kesepaduan dan komitmen keras kerajaan dalam memperkuat ekonomi
  • Perbincangan menghasilkan siri program untuk dilaksanakan demi manfaat rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!