Kos meningkat, bantuan kerajaan ringankan beban rakyat

SHAH ALAM - Kenaikan harga barang dan perkhidmatan boleh berlaku apabila peniaga meningkatkan kos bahan mentah, buruh, utiliti dan pematuhan perundangan selepas pelaksanaan beberapa inisiatif baharu dalam Belanjawan 2027.
Atas dasar itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan mengumumkan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari RM15 bilion pada 2026 kepada RM16 bilion pada 2027, iaitu peningkatan RM1 bilion.
"Selain itu, peruntukan subsidi RM80 billion dan potongan cukai individu yang kesemuanya bertujuan meringankan beban kepada pengguna dan majikan.
"Lihat juga dalam konteks kerajaan mengunjurkan kenaikan kadar inflasi sekitar 1.8 peratus hingga 2.8 peratus bagi tahun 2027 berbanding 1.5 peratus hingga 2.5 peratus (2026).
"Ini akan mencerminkan kesan lanjutan serta pemindahan kenaikan kos tenaga, makanan dan input lain," katanya.
Dalam konteks tersebut, peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberikan ruang kepada penyesuaian model perniagaan.
Bagaimanapun, terdapat suara-suara yang mengatakan peniaga sektor itu mungkin turut sama menaikkan harga barangan ekoran sentimen 'gaji pekerja naik bermakna mereka mampu berbelanja lebih'.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Mohd Afzanizam tidak menafikan kebarangkalian sedemikian boleh berlaku.
"Daya saing pasaran yang kompetitif amat mustahak untuk dilihat berdasarkan perspektif itu.
"Kuasa mutlak pasaran tidak terletak semata-mata di tangan peniaga. Pengguna mempunyai pilihan untuk beli barang dan dengan adanya teknologi, mereka mempunyai pilihan membeli barangan pada harga yang kompetitif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
