32 lelaki ditahan ingkar PKP

Antara yang ditahan dalam pemantauan Ops Covid-19 semalam.
Antara yang ditahan dalam pemantauan Ops Covid-19 semalam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 32 lelaki ditahan selepas didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemantauan Ops Covid-19 di daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditahan di lokasi berbeza kerana berkumpul tanpa menghiraukan arahan PKP.

Menurutnya,pemeriksaan di Jalan Pantai Bersih, Bagan Ajam kira-kira jam 5.30 petang polis menahan lapan lelaki yang sedang melepak di sebuah pondok dan ujian saringan air kencing mendapati lima daripadanya positif dadah.

"Pemantauan di Jalan Sungai Puyu, Butterworth menahan enam lelaki kerana melepak di sebuah bangsal dan semakan mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, tangkapan seterusnya melibatkan enam lelaki warga Myanmar yang juga didapati ingkar PKP kerana berkumpul di sebuah bangsal di Bagan Dalam, Butterworth kira-kira jam 7.45 petang.

Antara yang ditahan selepas didapati melepak di sebuah bangsal.
Antara yang ditahan selepas didapati melepak di sebuah bangsal.

"Polis juga menahan 10 lelaki masing-masing lima di Jalan Chain Feri dan di Bandar Perdana Bertam atas kesalahan yang sama.

"Ada yang cuba melarikan diri selepas melihat kehadiran anggota polis namun kesemuanya berjaya ditahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Noorzainy berkata, dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Bagan di sini, pihaknya menahan dua lelaki selepas didapati cuba melarikan diri dengan memandu kereta secara melawan arus.

Katanya, dua lelaki berkenaan memberi alasan mahu pergi ke klinik untuk mencuci luka namun panik selepas melihat sekatan jalan raya dan berpatah balik dengan memandu secara merbahaya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.