Tular cadangan kahwinkan Barron Trump–Puteri Denmark

Barron Trump dan Puteri Isabella. Foto Agensi
Barron Trump dan Puteri Isabella. Foto Agensi
A
A
A

COPENHAGEN – Ketegangan berhubung masa depan Greenland mencetuskan gelombang sindiran di media sosial apabila warganet mencadangkan satu 'penyelesaian diplomatik luar biasa' iaitu memeterai perkahwinan antara anak Presiden Amerika Syarikat, Barron Trump, dan Puteri Isabella dari Denmark.

Cadangan bersifat jenaka itu tular susulan desakan terbaharu Presiden AS, Donald Trump, yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk menguasai Greenland, wilayah autonomi di bawah kedaulatan Denmark.

Seorang pengguna platform X berseloroh bahawa perkahwinan tersebut boleh meredakan ketegangan geopolitik, dengan Greenland 'diserahkan' kepada Amerika Syarikat sebagai mas kahwin.

Hantaran itu meraih hampir 10 juta tontonan, sekali gus mencetuskan perbincangan meluas.

“Penyelesaian diplomatik paling mudah ialah Barron Trump berkahwin dengan Puteri Isabella, dan Greenland diberikan kepada Amerika sebagai mas kahwin,” tulis pengguna tersebut.

Puteri Isabella, 18, merupakan anak sulung Raja Frederik X dan Permaisuri Mary, serta kedua dalam senarai pewarisan takhta Denmark.

Barron Trump pula, 19, baru menamatkan tahun pertama pengajiannya di Sekolah Perniagaan Stern, Universiti New York, dan sering disebut-sebut sebagai tokoh masa depan politik keluarga Trump.

Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi – ada yang terhibur, tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan sejarah diplomasi Eropah silam.

Seorang pengguna mengingatkan bahawa konflik pernah diselesaikan melalui perkahwinan diraja pada era Dinasti Habsburg, manakala yang lain mencadangkan Barron berkahwin dengan anak Presiden China bagi 'mewujudkan keamanan dunia'.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, cadangan berunsur satira ini muncul ketika Trump mengulangi pendiriannya bahawa Amerika Syarikat bersedia menggunakan kekerasan untuk menguasai Greenland, dengan alasan keselamatan negara susulan peningkatan aktiviti ketenteraan Rusia dan China di Artik.

“Kita akan melakukan sesuatu terhadap Greenland, sama ada mereka suka atau tidak. Saya lebih suka perjanjian secara mudah, tetapi jika tidak, kita akan lakukan dengan cara sukar,” kata Trump dalam satu mesyuarat di Rumah Putih.

Kenyataan itu mengundang reaksi keras dari Copenhagen. Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan terhadap Greenland akan menamatkan asas keselamatan pasca-Perang Dunia Kedua, termasuk kerjasama dalam NATO.

Walaupun cadangan perkahwinan itu jelas bersifat gurauan, penganalisis melihat fenomena tersebut sebagai cerminan kebimbangan global terhadap retorik geopolitik yang semakin agresif, serta bagaimana masyarakat awam menggunakan humor untuk mengulas isu antarabangsa yang serius. - Agensi

Ringkasan AI

  • Ketegangan berhubung masa depan Greenland mencetuskan cadangan jenaka perkahwinan antara Barron Trump dan Puteri Isabella dari Denmark di media sosial
  • Cadangan itu tular dengan hampir 10 juta tontonan sebagai langkah meredakan ketegangan geopolitik
  • Puteri Isabella adalah anak sulung Raja Frederik X dan kedua dalam senarai pewarisan takhta Denmark
  • Barron Trump, anak Presiden Amerika Syarikat, baru menamatkan tahun pertama di Universiti New York
  • Cadangan perkahwinan tersebut merujuk kepada sejarah diplomasi melalui perkahwinan diraja dan mengundang pelbagai reaksi dari terhibur hingga kritikal terhadap pendekatan agresif Trump terhadap Greenland

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!