Keajaiban festival ais dan salji Harbin

Acara itu yang dijadualkan berlangsung hingga Februari depan dijangka menarik kunjungan jutaan pelancong. Foto Agensi
Acara itu yang dijadualkan berlangsung hingga Februari depan dijangka menarik kunjungan jutaan pelancong. Foto Agensi
A
A
A

HARBIN - Tebing Sungai Songhua di Harbin, wilayah Heilongjiang di China meriah dengan persembahan bunga api ketika pembukaan Festival Ais dan Salji Antarabangsa Harbin ke-42 pada Isnin lalu.

Acara tahunan itu terus dinanti-nantikan jutaan pelancong dari seluruh pelosok dunia sejak pertama kali ia memperkenalkan pertunjukan tanglung ais pada 1985.

Pengunjung teruja untuk merakamkan foto berlatarbelakangkan arca ais gergasi berbentuk kereta api. Foto Agensi
Pengunjung teruja untuk merakamkan foto berlatarbelakangkan arca ais gergasi berbentuk kereta api. Foto Agensi

Sejak empat dekad lalu, ia telah menjadi salah satu daripada empat festival ais terbesar di samping Festival Salji Sapporo (Jepun), Karnival Musim Sejuk Quebec (Kanada) dan Festival Ski Holmenkollen Oslo (Norway).

Ia turut menyediakan lebih 200 aktiviti kebudayaan dan sukan di kawasan berkeluasan 1.2 juta meter persegi.

Pemandangan pada waktu malam lebih memukau dan menakjubkan. Foto Agensi
Pemandangan pada waktu malam lebih memukau dan menakjubkan. Foto Agensi

Pada kali ini, kawasan yang disediakan adalah kira-kira 20 peratus lebih besar berbanding tahun lalu dan menggunakan lebih 400,000 meter padu ais serta salji.

Artikel Berkaitan:

Pada waktu malam, pengunjung dapat menyaksikan pertunjukan cahaya pemetaan tiga dimensi (3D) berserta teknologi interaktif realiti tambahan yang menghidupkan arca lutsinar bak kristal.

Warnanya berubah mengikut pantulan cahaya dan bayang-bayang, sekali gus menjadikan keseluruhan taman tampak seperti sebuah istana kristal ais mempesonakan.

Salah sebuah arca gergasi yang dihasilkan artis berdasarkan kreativiti mereka. Foto Agensi
Salah sebuah arca gergasi yang dihasilkan artis berdasarkan kreativiti mereka. Foto Agensi

Pelancong juga diberi akses untuk aktiviti memancing musim sejuk, luncur ski, bola sepak salji dan gelongsor ais sepanjang 521 meter.

Festival tersebut turut menampilkan lima acara teras 'ais dan salji super' termasuk perlumbaan ketahanan super luncur laju ais peringkat Asia yang menghimpunkan hampir 2,000 atlet tempatan dan antarabangsa untuk bertanding.

Selain itu, terdapat juga pertandingan mengukir ais yang disertai kumpulan artis hebat dari seluruh dunia.

Peserta memberi sentuhan akhir pada seni arca mereka. Foto Agensi
Peserta memberi sentuhan akhir pada seni arca mereka. Foto Agensi

Data pemerintah tempatan pada sambutan tahun baharu baru-baru ini, menunjukkan Harbin merekodkan kunjungan seramai 1.4 juta pelancong iaitu peningkatan sebanyak 11.4 peratus berbanding 2025.

Festival berkenaan bukan sahaja menjadi perayaan budaya ais dan salji yang memukau malah turut menguji ketahanan fizikal pengunjung dalam menghadapi kesejukan melampau berikutan suhu dijangka menjunam hingga bawah -20 darjah Celsius.

Persembahan bunga api memeriahkan acara pembukaan Festival Salji Harbin di wilayah Heilongjiang pada Isnin lalu. Foto Agensi
Persembahan bunga api memeriahkan acara pembukaan Festival Salji Harbin di wilayah Heilongjiang pada Isnin lalu. Foto Agensi

Acara berkenaan lazimnya berlangsung hingga lewat Februari, namun ia bergantung pada keadaan cuaca sebelum peningkatan suhu secara beransur-ansur mencairkan pameran beku tersebut secara semula jadi.

Ringkasan AI

  • Festival Ais dan Salji Antarabangsa Harbin ke-42 diadakan di Harbin, Heilongjiang, China dengan persembahan bunga api
  • Acara tahunan menarik jutaan pelancong sejak 1985, salah satu daripada empat festival ais terbesar di dunia
  • Menawarkan lebih 200 aktiviti kebudayaan dan sukan di kawasan seluas 1.2 juta meter persegi
  • Penggunaan lebih 400,000 meter padu ais serta salji, menampilkan pertunjukan cahaya 3D dan aktiviti seperti memancing dan luncur ski
  • Mencatat kunjungan 1.4 juta pelancong pada sambutan tahun baru, festival ini juga mencabar ketahanan fizikal pengunjung dalam suhu -20 darjah Celsius

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!