JKDM patahkan 7,097 kes penyeludupan, rampasan cecah RM1.88 bilion

Anis Rizana
Anis Rizana
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan sebanyak 7,097 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam sepanjang tahun 2025, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.88 bilion.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, nilai rampasan tersebut meningkat sebanyak RM250.71 juta atau 15.33 peratus berbanding RM1.63 bilion yang direkodkan pada tahun 2024.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan serta ketegasan JKDM dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan bagi melindungi hasil negara.

“Lima komoditi utama berdasarkan nilai rampasan sepanjang tahun 2025 melibatkan dadah, kenderaan, rokok, minuman keras serta mercun dan bunga api.

“Rampasan dadah melibatkan 734 kes dengan kuantiti 7,738 kilogram bernilai RM490.75 juta, manakala rampasan rokok membabitkan 2,472 kes dengan kuantiti 566.58 juta batang bernilai RM497.27 juta, termasuk duti dan cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Kejayaan JKDM dalam Kutipan Hasil dan Kes Penguatkuasaan Sepanjang 2025 di Ibu Pejabat JKDM, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, sejak tahun 2024, JKDM telah melaksanakan peralihan strategik daripada pendekatan penguatkuasaan berasaskan output kepada pendekatan berasaskan outcome, dengan menumpukan kepada nilai rampasan serta jumlah duti dan cukai yang terlibat.

“Bagi tahun 2025, pendekatan tersebut diteruskan dan diperkukuh dengan memberi tumpuan kepada kes-kes berimpak tinggi, khususnya yang melibatkan kontena.

“Keberkesanan penguatkuasaan turut dipertingkat melalui penggunaan sistem MyCIEDS, teknologi kecerdasan buatan (AI), mesin pengimbas berkeupayaan tinggi, serta gabungan risikan manusia dan analisis data perdagangan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anis Rizana berkata, JKDM memperoleh 134 unit mesin pengimbas moden berteknologi AI dan melaksanakan pemeriksaan 100 peratus ke atas dagangan import dan eksport di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

“Barangan rampasan melibatkan kenderaan dilupuskan mengikut kaedah yang ditetapkan termasuk tender terbuka, manakala rokok dan minuman keras tidak dijual kepada orang awam, sebaliknya dilupuskan sepenuhnya.

“JKDM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, agensi kerajaan lain termasuk SPRM dan PDRM, serta rakan strategik media atas sokongan berterusan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, dengan jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat.

Ringkasan AI

  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia mematahkan 7,097 kes penyeludupan pada tahun 2025 dengan nilai rampasan RM1.88 bilion
  • Nilai rampasan meningkat RM250.71 juta berbanding tahun 2024
  • Lima komoditi utama yang dirampas adalah dadah, kenderaan, rokok, minuman keras serta mercun dan bunga api
  • Penerapan teknologi AI dan penggunaan mesin pengimbas tinggi dalam penguatkuasaan
  • Barangan rampasan yang tidak dijual kepada awam akan dilupuskan, kerjasama dengan agensi kerajaan lain diperkukuh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!