Hormat, bukan cabar undang-undang

Masih ada kelompok tertentu yang melihat perbuatan melawan polis sebagai simbol keberanian. Foto hiasan
Masih ada kelompok tertentu yang melihat perbuatan melawan polis sebagai simbol keberanian. Foto hiasan
A
A
A

ISU anggota polis dilanggar kenderaan, dimaki hamun, malah dicabar secara terbuka ketika menjalankan tugas bukan lagi kes terpencil di negara ini.

Sebaliknya, fenomena ini semakin kerap berulang, seolah-olah wujud satu kecenderungan baharu dalam masyarakat yang menormalisasikan perbuatan mencabar kewibawaan pasukan keselamatan, khususnya pihak polis.

Terbaru, insiden seorang wanita yang ditahan di Alor Setar kerana melakukan kekacauan, menghina agama, memaki hamun serta meludah ke arah anggota polis benar-benar mengejutkan banyak pihak.

Justeru, persoalan besar timbul, begitu beranikah rakyat di negara ini sanggup melakukan provokasi terbuka terhadap anggota pasukan keselamatan yang sedang menjalankan tugas demi penguatkuasaan undang-undang?

Apabila dikaji secara lebih mendalam, punca kepada kebanyakan insiden ini sebenarnya berpunca daripada satu faktor utama, iaitu kegagalan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Itu sahaja.

Apabila individu gagal mematuhi peraturan dan tindakan penguatkuasaan diambil, maka timbullah rasa tidak puas hati, kemarahan dan emosi tidak terkawal sehingga ada yang sanggup melawan, malah mencederakan anggota polis.

Lebih menyedihkan, terdapat juga insiden yang berakhir dengan kematian anggota polis ketika menjalankan tugas.

Namun masih ada kelompok tertentu yang melihat perbuatan melawan polis sebagai simbol keberanian atau kebebasan bersuara, sedangkan dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang, polis bukanlah musuh kepada rakyat.

Sebaliknya, polis merupakan barisan hadapan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan awam, menguatkuasakan undang-undang dan memastikan ketenteraman sosial kekal terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Namun, tanpa ketaatan terhadap arahan dan peraturan, negara berisiko terjerumus ke dalam kekacauan yang akhirnya merugikan semua pihak tanpa mengira latar belakang.

Selain itu, kes anggota polis dilanggar kenderaan ketika sekatan jalan raya atau pemeriksaan rutin jelas mencerminkan sikap degil segelintir masyarakat yang melampaui batas.

Arahan untuk berhenti bukan dikeluarkan secara suka-suka, sebaliknya bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya termasuk pemandu itu sendiri.

Namun apabila arahan ini dicabar dengan pecutan kenderaan, ia bukan sekadar kesalahan trafik, tetapi satu ancaman serius terhadap nyawa penjawat awam yang sedang melaksanakan tugas.

Kebebasan bersuara sering dijadikan perisai untuk menghalalkan perbuatan biadab terhadap polis. Mengkritik atau menegur salah laku anggota penguat kuasa secara berhemah adalah hak warganegara, namun menghina, mencederakan atau melawan arahan sah tetap merupakan satu jenayah yang langsung tidak boleh dikompromi.

Perlu difahami, setiap anggota polis juga manusia biasa yang mempunyai keluarga yang menanti kepulangan mereka walaupun menyedari setiap tugasan, sama ada mengawal lalu lintas atau menahan suspek, membawa risiko besar.

Justeru, apabila masyarakat gagal menghormati peranan ini, ia bukan sahaja menjejaskan fizikal dan emosi anggota terlibat, malah menghakis semangat pasukan keselamatan secara keseluruhannya.

Oleh itu, sudah tiba masanya pendidikan sivik dan kesedaran awam perlu diperkukuhkan agar budaya menghormati polis dapat kembali difahami sebagai lambang kematangan sosial.

Secara keseluruhannya, masyarakat juga perlu sedar, keamanan negara bukan hanya terletak di bahu polis semata-mata, tetapi ia merupakan tanggungjawab bersama dan semuanya bermula dengan menghormati anggota penguat kuasa serta mematuhi undang-undang sedia ada.

*Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Biro Johor

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!